Nice, Perancis: Penyokong Nice mengimpikan pasukan ‘underdog’ yang dikemudi Mario Balotelli (gambar kiri) itu melakar apa yang dilakukan Leicester sekali gus merampas kejuaraan Perancis daripada juara bertahan Paris Saint-Germain.

Dua gol Balotelli ketika menang 2-1 ke atas Dijon Sabtu lalu memastikan Nice melangkah ke cuti rehat musim sejuk di puncak carta Ligue 1 dan kemenangan ke atas Bordeaux awal pagi esok pasti akan menambah aib musuh mereka yang lebih ternama.

Balotelli, sering kali gagal di England dan negara kelahirannya Itali, kini menyumbat lapan gol dalam lapan perlawanan sekalipun kurang beraksi kerana kecederaan.

Pasukan Cote d’Azur itu turut meraih manfaat berikutan persembahan mengagumkan Alasane Plea, 23, yang sudah menjaringkan 10 gol. Dante, bekas pertahanan Bayern Munich sukar dilepasi di benteng terakhir.

Nice hanya kalah sekali dalam 18 perlawanan dan kini empat mata di depan Monaco dan tujuh di depan PSG. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:31 AM