Keadaan bas yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Ipoh: Dua cedera, 25 yang lain termasuk pemandu bas selamat selepas bas ekspres dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 312 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah, 4.45 pagi tadi.

Difahamkan, dua penumpang bas berkenaan hanya cedera ringan manakala pemandu lori membawa bahan kek dan biskut tidak mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Rani Mat Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.08 pagi dan sebaik tiba mendapati tiada mangsa yang tersepit.

"Dua mangsa berkenaan dipercayai hanya mengalami luka-luka ringan manakala kesemua yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kesemua penumpang bas sudah meneruskan perjalanan ke Ipoh dengan menaiki bas lain.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:29 AM