MOHD Khairi Zainuddin. FOTO ihsan PAS Negeri Sembilan
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


Nilai: Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan, Mohd Khairi Zainuddin meninggal dunia dipercayai serangan jantung di klinik di sini, hari ini.

Mohd Khairi, 45, dikatakan melawat sekolah agama di daerah ini sebelum beliau muntah dan pengsan.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Negeri Sembilan Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa, Allahyarham kemudian dibawa ke klinik yang terletak berhampiran namun pasukan perubatan mengesahkan beliau meninggal dunia pada 4.29 petang.

Beliau berkata, jenazah arwah dibawa pulang ke rumahnya di Taman Guru, Seremban selepas Maghrib sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Said di Sikamat.

"Buat masa kini, jenazah masih berada di Nilai. Kami seluruh warga PAS negeri, bersedih atas pemergiaan seorang tokoh ulama muda yang terbilang," katanya.

Allahyarham berasal dari Kampung Kubur Cacar, Jempol mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jempol sebelum dihantar oleh arwah bapanya untuk melanjutkan pengajian di Maahad Darul Quran, Rusila, Terengganu.

Berkelulusan Diploma Perisian Komputer, Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar Mesir sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Terbuka.

Beliau berpengalaman mengajar di beberapa sekolah menengah selain menjadi pengarang kamus Bahasa Arab-Bahasa Melayu, Kamus Al-Miftah.

Pada masa sama, Allahyarham adalah Pengasas Sekolah Rendah Islam Integrasi Darul Ulum (SRIIDU) dan dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan sejak 2011 hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 7:36 PM