Yahaya (tengah) beramah mesra bersama pegawai yang menerima anugerah dan sijil penghargaan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh : Sebanyak 1,400 guni tar bercampur diesel yang dikumpul sepanjang kerja pembersihan tumpahan diesel dalam kemalangan dekat sini pada 10 Disember lalu akan dihantar ke tapak pembakaran Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok di Negeri Sembilan untuk dilupuskan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, tindakan pantas anggota bomba dan pelbagai agensi berjaya mengendalikan hampir 10,000 liter minyak berkenaan yang tumpah ketika kemalangan membabitkan lori tangki dan kereta di Kilometer 256 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Terowong Menora, dekat sini.

Katanya, kesan minyak itu yang bercampur tar mengalir dari tempat kejadian pada ketinggian 300 meter sehingga sejauh kira-kira 2.4 kilometer ke bahagian sungai kecil sekitar kawasan berkenaan.

"Sebahagian kesan tar dan minyak diesel itu ada yang mengalir ke Sungai Akar dan Sungai Menora, namun anggota kami bertindak pantas memasang penjerat minyak di kedua-dua sungai kecil itu dan berjaya menyekat kesan tar daripada mengalir masuk ke Sungai Perak.

“€œOperasi berkenaan ditangguhkan selepas minyak itu berjaya dibersihkan dan lebih 10 tan tanah dengan kesan minyak akan dihantar ke Kualiti Alam Sdn Bhd untuk dilupuskan.

"Namun, pihak teknikal JBPM masih memantau bagi memastikan tiada lagi sisa di lokasi kejadian," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di JBPM Perak, Meru Raya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 5:12 PM