NORASH Figs Farm milik Rashid.
MUHAMMAD Ridzuan menunjukkan pokok tin yang sudah ditut.
RASHID menunjukkan buah tin.
Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my

Kesedaran masyarakat yang makin meningkat mengenai khasiat buah tin, selain permintaan menggalakkan mencetuskan minat awal Leftenan Kolonel (B), Rashid Ahmad, 57, mengusahakan ladang tanaman itu.

Apatah lagi ketika itu beliau bakal bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sedang tercari-cari bidang baru yang mahu diceburi bagi mengisi fasa persaraannya.

Selepas mengkaji pelbagai aspek dan galakan kawan-kawan supaya mengusahakan ladang tin, beliau mengambil keputusan mencuba.

Ternyata pilihan Rashid tepat apabila ladang buah tin Norash Figs Farm yang diusahakan di Sungai Udang, Melaka, sejak Oktober 2014 memberi pulangan luar jangkaan.

Bermula dengan hanya 20 pokok, ladang berkenaan kini mempunyai 500 pokok tin.

Mengimbas pembabitan awalnya sebagai petani, Rashid berkata menjelang persaraannya sebagai anggota tentera pada 2014, beliau tercari-cari bidang mahu diceburi selepas bersara.

“Sebenarnya, jika mahu, saya boleh terus makan gaji kerana dengan ijazah yang saya miliki dalam Sains Pengurusan, saya layak menjadi pensyarah. Namun, selepas berpuluh-puluh tahun berkhidmat dengan ATM, saya ingin berehat daripada rutin kerja.

“Saya mahu pulang ke kampung dan mengisi masa persaraan bersama keluarga. Tapi pada masa sama tidak mahu hanya goyang kaki dan makan duit pencen tanpa melakukan apa-apa.

“Saya mahu melakukan aktiviti berfaedah tapi tidak terikat dengan masa. Selepas berbincang dengan kawan-kawan dan keluarga, ramai mencadangkan saya mengusahakan ladang tin. Kebetulan saya memiliki sebidang tanah di kampung,” katanya.

Beliau kemudian mengikuti kursus pengendalian ladang tin anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) secara teori dan praktikal daripada proses penanaman, penjagaan sehingga menjual hasilnya.

“Saya memilih mengusahakan ladang tin kerana beberapa sebab, antaranya masyarakat kita makin menggemari buah tin dan permintaan sangat tinggi kerana mereka yakin dengan khasiatnya.

“Apatah lagi, buah tin ada disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menyebabkan saya teruja mengusahakannya

kerana ingin menggalakkan masyarakat Islam mengamalkan pemakanan sunah.

“Selain itu, mengusahakan tanaman pokok tin tidak sukar seperti beberapa tanaman lain yang perlu menggunakan tenaga serta tumpuan.

“Sebagai orang pencen, saya mahu melakukan kerja secara santai sesuai dengan tujuan berkebun untuk mengisi masa lapang dan mengeluarkan peluh sahaja,” katanya.

Disebabkan tiada pengalaman dalam sektor pertanian, Rashid mengambil pendekatan berhati-hati apabila mula berjinak-jinak dengan bidang berkenaan pada Oktober 2014.

Rashid berkata, sebagai permulaan dan percubaan, beliau mengeluarkan modal RM5,000 dengan menanam hanya 20 pokok tin di belakang rumahnya.

“Saya menanam di dalam pasu besar dan meletakkan pokok itu ke kawasan bertutup bagi mengelak gangguan serangga. Ternyata pokok tin tidak banyak kerenah kerana mudah dijaga berbanding tanaman lain.

“Hasilnya juga cepat diperoleh iaitu dalam tempoh sembilan bulan selepas ditanam dan berterusan selama beberapa tahun. Biasanya apabila mula berbuah ia akan berterusan sepanjang tahun.

“Namun, kemuncaknya antara Jun hingga September kerana ketika ini ia akan menghasilkan buah lebih banyak berbanding biasa,” katanya.

Selepas memperoleh hasil pertama, Rashid mendapati potensi pasaran buah tin sangat besar kerana harga pasaran mencecah sehingga RM80 sekilogram (kg) bergantung pada jenis dan kualiti buah.

Melalui promosi di laman sosial seperti Facebook, Norash Figs Farm kini menjadi antara destinasi kegemaran pelancong melawat Melaka. Sambil melihat secara dekat ladang berkenaan, mereka turut membeli buah tin sebagai buah tangan.

Rashid turut menyediakan benih pokok tin. Beliau menjual melalui tiga kaedah iaitu batang, tut dan anak benih dengan harga antara RM50 hingga RM100 sepokok. Selain membeli terus dari ladang, penggemar pokok tin turut membuat pesanan secara dalam talian (online).

Kegiatan itu turut membuka ruang kerja kepada anak lelakinya, Muhammad Ridzuan, 25, yang makin seronok menjalankan tugas promosi dan pemasaran sehingga melupakan hasratnya mencari kerja makan gaji walaupun berkelulusan universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 11:16 AM