RONALDO mencium Trofi Bola Emas.
AFP

Yokohama, Jepun: Cristiano Ronaldo menegaskan dia menjawab kritikan terhadapnya dengan penuh bergaya apabila menyempurnakan tahun ‘menakjubkan’ dengan jaringan hatrik membantu Real Madrid menjuarai Piala Kelab Dunia dan menambah pelbagai gelaran dimilikinya.

Selepas aksi hebatnya membenam kelab Jepun, Kashima Antlers 4-2 pada masa tambahan kelmarin, bintang handalan Portugal itu merangkumkan musim cemerlang yang mana dia turut menjulang trofi Liga Juara-Juara, Piala Super, Euro 2016 dan Ballon d’Or.

“Mereka sentiasa mengharapkan lebih banyak daripada Cristiano,” kata Ronaldo yang merujuk dirinya sebagai orang ketiga.

“Ia minggu penuh dengan kegembiraan selepas memenangi Ballon d’Or juga. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka Cristiano tidak boleh memenangi anugerah individu,” katanya.

Ronaldo membuktikan mengapa dirinya terpilih sebagai pemain terbaik dunia buat kali keempat minggu ini tetapi juga detik mementingkan kepuasan diri yang menjadikan dirinya individu berpengaruh.

Pada satu ketika separuh masa perlawanan, dia hampir terjatuh ketika melakukan ‘stepover’ yang menjadi identitinya.

Namun ketika perlawanan akhir mencemaskan itu melangkah ke masa tambahan, ayam tambatan Real itu menjaringkan dua gol untuk memberikan kelab gergasi Sepanyol itu gelaran kelab terbaik dunia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan kelima keseluruhan.

Ia menyempurnakan tahun menakjubkan yang mana Ronaldo membantu Real menjadi juara Eropah buat kali ke-11, menambah gelaran Piala Super dan mengemudi Portugal menjulang gelaran Euro 2016.

“Seperti biasa, statistik tidak menipu,” kata pemain terbaik kejohanan itu merujuk kepada anugerah Ballon d’Or minggu lalu yang meletakkannya kurang satu gelaran berbanding Lionel Messi yang sudah menerima lima anugerah sama.

“Orang sentiasa mengkritik saya tapi saya sudah biasa,” kata pemain berusia 31 tahun itu yang menjaringkan gol ke-500 sepanjang kariernya ketika Real menang 2-0 pada aksi separuh akhir ke atas kelab Mexico, Club America.

“Saya sudah membuktikan kualiti saya di padang sejak bertahun lamanya dan mengecap musim menakjubkan bersama Real Madrid dan Portugal.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:38 AM