ANGGOTA APMM melihat pelbagai jenis ikan yang ditangkap kumpulan nelayan asing. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan asing yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 orang kru kapal termasuk tekong dan awak-awak Vietnam selepas melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kedudukan 21 batu nautika Tenggara Tanjung Sedili dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Sanifah Yusof berkata tindakan menahan kru bot berusia 18 hingga 51 tahun dilakukan Bot Maritim Malaysia DM 7 Tanjung Sedili selepas mengejarnya di lokasi itu yang berlarutan sehingga 30 minit.

"Insiden berlaku lebih kurang 21 batu nautika tenggara Tanjung Sedili walaupun keadaan laut bergelora pada musim tengkujuh.

"Operasi menahan bot asing itu dilakukan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kehadiran bot nelayan yang dikesan melakukan kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan negara," katanya.

Katanya, sebaik menerima maklumat pada jam 11 pagi, sebuah bot ronda maritim bersama sembilan anggota diarahkan ke lokasi.

Sanifah berkata, bot itu didapati membawa muatan lebih kurang 28 tan ikan campur-campur, lima tan ikan baja serta sotong kering dalam anggaran lebih kurang 700 kilogram.

Katanya, semua mereka ditahan dan bot berkenaan ditunda ke Jeti Maritim Tanjung Sedili, dekat sini untuk tindakan siasatan selanjutnya.

Kes akan disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 5:19 PM