Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menjelaskan situasi dan keadaan kewangan persatuan berkenaan tidak sama seperti Johor.

Presidennya Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, beliau mengambil alih pucuk pimpinan PFA dengan beban hutang tinggi.

“Kita di PFA tidak pernah mendapat sebarang peruntukan dari kerajaan negeri atau mana-mana individu. Kami tidak seperti Johor. Semuanya saya tanggung seorang diri,” kata Rozabil ketika dipilih menjadi Presiden PFA pada pertengahan tahun lalu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin lalu menegur kegagalan PFA menjelaskan bayaran gaji tertunggak kepada pemain Perlis musim lalu.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, beliau amat kecewa dengan sikap itu kerana pemain juga mempunyai keluarga yang perlu disara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail, kelmarin berkata, berdasarkan kes yang dirujuk kepada mereka, PFA gagal membayar gaji untuk tempoh lima bulan iaitu bermula Julai hingga November.

Malah Izham turut melahirkan kekecewaan kerana usaha mereka untuk mengadakan rundingan dengan PFA dalam tempoh dua bulan lalu tidak dilayan selain sudah mengemukakan afidavit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membolehkan tindakan susulan diambil badan induk bola sepak negara itu.

“Sebenarnya isu (gaji) ini, ada pemain yang sudah bersetuju untuk mencapai jalan penyelesaian, malah terdapat pemain yang sudah dibayar. Pada pemain yang tidak bersetuju, mereka boleh datang bertemu saya,” kata Rozabil.

PFAM dijangka mengadakan sidang media menjelaskan lebih lanjut isu tunggakan gaji skuad Perlis Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:31 AM