ANGGOTA penyelamat mengutip barangan peribadi mangsa pesawat terhempas di Wamena. FOTO AP
Agensi

Jakarta: Tiga belas orang terbunuh selepas pesawat pengangkut tentera Indonesia terhempas di timur negara itu, hari ini, kemalangan udara terbaru membabitkan pasukan bersenjata negara berkenaan.

Pesawat Hercules C-130 itu berlepas dari bandar Timika di wilayah Papua dengan 12 anak kapal dan seorang penumpang tetapi terhempas di kawasan pergunungan pedalaman sejurus sebelum mendarat di Wamena.

“Pengawal trafik udara melihat pesawat itu pada 6.08 pagi (waktu tempatan) tetapi terputus hubungan seminit kemudian,” kata Panglima Tentera Udara,Agus Supriatna.

Pesawat berkenaan dijadual mendarat pada 6.13 pagi (waktu tempatan).

Dalam pesawat itu ialah tiga juruterbang, lapan juruteknik, seorang pemandu arah, seorang pegawai tentera, sejumlah bekalan makanan dan simen, kata Agus.

Menurutnya, pasukan penyelamat mengesan serpihan pesawat itu tidak lama kemudian. Semua 13 mayat juga ditemui.

Kemalangan itu adalah yang terbaru membabitkan pesawat tentera Indonesia.

November lalu, sebuah helikopter tentera terhempas di Borneo, menyebabkan tiga orang terbunuh. Tiga lagi mati apabila sebuah lagi helikopter terhempas di atas sebuah rumah di Jawa Tengah Julai lalu.

Pada Mac tahun ini, 12 orang maut apabila sebuah helikopter tentera terhempas dalam cuaca buruk di Sulawesi, Jawa Tengah.

Namun, kemalangan paling buruk terkini berlaku Jun tahun lalu apabila sebuah pesawat Hercules C-130 terhempas di kawasan kejiranan di Medan menyebabkan 142 orang mati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 8:55 PM