Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Remaja lelaki, Mohd Aiman Mohd Ridzuan, 15, melecur di tangan kanan selepas mendakwa terkena cecair nitrogen yang digunakan dalam penyediaan biskut berasap yang dibelinya di bandar raya ini baru-baru ini.

Ibu mangsa, Nordiana Yaacob, 45, berkata, mereka sekeluarga membeli biskut itu di sekitar bandar raya ini dengan harga RM10 yang mempunyai 20 keping biskut.

Katanya, ketika hendak makan biskut terakhir Jumaat lalu, anaknya menuang di tapak tangan sebelum terasa seperti tapak tangannya panas dan terus membuang biskut itu tanpa memakannya.

Namun katanya, esoknya dia mendapati tapak tangan kanan anaknya mengelembung dan mempunyai air bisa.

"Saya syak ia mungkin akibat cecair nitrogen biskut yang dituang pada tapak tangannya malam Jumaat lalu dan terus membuat laporan di Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) kerana bimbangkan keadaannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini, pihaknya menerima lima aduan berhubung pengambilan biskut berasap itu yang mendatangkan kesan kepada pengguna termasuk melecur di bahagian lidah ketika makan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:06 PM
TAPAK tangan Mohd Aiman. FOTO Zuliaty Zulkiffli