NICOL fokus pemulihan kecederaan sebelum kembali beraksi.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tanpa sebarang gelaran tahun ini ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) mengakui dia memerlukan tempoh bertenang sebelum kembali beraksi semula awal tahun depan.

Kembalinya ke tanah air dari Amsterdam, Nicol berkata dua minggu terluang ini masa sesuai untuknya berehat dan melupakan sejenak skuasy selain menjalani proses pemulihan akibat kecederaan hamstring kaki kanan.

Juara dunia lapan kali itu berkata, dia menempuh tahun yang panjang sepanjang 2016 dan mengakui banyak dipelajarinya sepanjang tahun ini selepas gagal meraih sebarang gelaran.

“Ini masanya untuk saya melihat ke belakang dan mengkaji apa yang diperlukan untuk membina semula kekuatan dan mengorak ke tahap seterusnya. Bagi saya ia perjalanan yang menarik kerana ada naik dan turun.

“Saya perlu mula dari bawah untuk kembali menjadi seperti dulu dan hingga kini masih lagi belajar untuk mengembangkan corak permainan,” katanya.

Kali terakhir Nicol meraih kejuaraan adalah muncul juara Terbuka Hong Kong, Disember tahun lalu.

Tahun ini Nicol hanya mampu bergelar juara Kejohanan Jemputan Skuasy Wanita SRAM, Ogos lalu. Selain itu dia gagal meraih sebarang kejuaraan termasuk Kejohanan Dunia buat kali kesembilan apabila tewas kepada pemain muda Mesir Nour El Sherbini di suku akhir.

“Saya masih belajar dan berusaha. Saya masih fokus untuk memperbaiki permainan dan kelemahan diri sendiri. Saya yakin keputusan dicapai adalah dari usaha hari ini,” katanya yang ditemui ketika menghadiri Karnival Sukan anjuran Sport Warrior Global di Kompleks Astaka Majlis Bandaran Petaling Jaya (MPBPJ).

Mengulas mengenai kehadirannya di karnival itu, Nicol menganggapnya sebagai sokongan kepada aktiviti sukan terutama membabitkan kanak-kanak kurang berkemampuan.

Katanya mungkin selama ini, kanak-kanak ini tidak mempunyai peluang dan siapa tahu mungkin kumpulan ini akan muncul juara dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:10 AM