BERSAMA pekerja meneliti kerosakan kereta pelanggan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Kestabilan politik dan ekonomi Malaysia menjadikan negara ini tumpuan baik segi peluang pekerjaan mahupun pilihan melanjutkan pelajaran bagi pelajar negara serantau.

Bermula kunjungan pertama Khalil Ur Rehman dari Pakistan ketika mengikuti program jangka pendek di sebuah pusat pengajian Kuala Lumpur membuatkan dia kembali semula ke negara ini meskipun mengambil masa selama 10 tahun.

Menyifatkan Malaysia syurga ilmu buat pelajar luar, sejak itu hatinya mula ‘ditambat’ untuk terus berada di sini hinggalah dia mengahwini wanita tempatan kira-kira empat tahun lalu.

Sejak bila anda mengenali Malaysia?

Saya sudah mengetahui mengenai Malaysia menerusi saudara serta kenalan terlebih dulu berkunjung serta berhijrah di Malaysia.

Kemudian apabila saya mengikuti satu program mengenai satu pusat pengajian berpusat di United Kingdom menyatakan mempunyai cawangan di Malaysia, saya membuat lawatan selama dua hari di sini pada 2001.

Tidak sangka tahun 2010 saya kembali semula mengikuti pengajian Sarjana di Universiti Sunway Subang Jaya dan sehingga sekarang saya berada di sini.

Apa pendapat anda mengenai Malaysia?

Anggapan awal Malaysia ini negara kecil dan sederhana dan tidak sangka apabila lawatan kedua ia jauh berbeza apabila pesat membangun.

Mengenai rakyatnya, meskipun mereka juga Muslim, namun pemikiran rakyatnya berbeza dan bersikap terbuka. Latar rakyat pelbagai kaum menjadikan mereka berbeza dengan Muslim negara saya.

Adakah mudah menyesuaikan diri di Malaysia?

Cepat menyesuaikan diri disebabkan rakyatnya mesra dan mudah didekati. Mereka sentiasa sedia membantu sesiapa terutama warga asing di sini.

Kebetulan pula saya menjalankan perniagaan bengkel kereta, pelanggan bukan saja warga asing malah rakyat tempatan banyak membantu penguasaan bahasa Melayu.

Apakah makanan kegemaran anda?

Banyak pilihan makanan menarik. Malah ketika awal-awal berada di sini saya menyukai Nasi Goreng Pattaya. Sekarang saya sukakan hidangan Nasi Lemak Ayam Rendang.

Apakah kenangan manis anda di Malaysia?

Bagi saya ialah mengenali isteri, Maya Kavitha Abdullah dan mempunyai dua anak, Sabina Hameal dan Sarina Firdous ialah momen manis di sini.

Dapat meluangkan masa bersama mereka melancong di lokasi menarik seperti Genting Highlands dan Langkawi ialah kenangan manis.

Apa budaya berbeza mengenai masyarakat di sini dengan negara anda?

Di sini ada sedikit perbezaan mengenai perkahwinan. Kalau di Pakistan pengantin lelaki perlu sediakan rumah manakala ‘dowri’ sebelah perempuan mereka perlu siapkan perabot seperti katil, meja solek dan sebagainya.

Tetapi di Malaysia itu tiada dan difahamkan hantaran lebih kepada wang kepada keluarga perempuan.

Kelebihan Malaysia pada pandangan anda?

Rakyatnya berbilang kaum, toleransi tinggi, keamanan dan klimaks malar kerana bukan negara empat musim. Tidak perlu berdepan dengan cabaran cuaca empat musim terutama musim sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:03 AM