AKSI Scuba Santa yang mendapat tepukan gemuruh pengunjung.
DEKORASI unik sempena Hari Krismas.
SEBAHAGIAN aktiviti di Moon Lab.
KEHADIRAN pari gergasi yang turut sama menagih hadiah daripada Scuba Santa mendapat sorakan.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@mediaprima.com.my

Tepat jam 12 tengah hari, Aquatheatre di Aquaria KLCC hingar dengan tepuk sorak pengunjung. Ada anak kecil yang melopong seketika, tak kurang yang membulatkan mata seolah-olah tidak percaya.

Mungkin mereka kagum dengan kehadiran Scuba Santa atau terkejut melihat pari gergasi dan penyu melintas di layar mata.

Riak kagum turut terukir di wajah pengunjung dewasa. Ternyata kehadiran Scuba Santa menceriakan pengunjung.

Acara memberi makan hidupan laut oleh Scuba Santa itu antara tarikan unik sempena sambutan Krismas di Aquaria KLCC sehingga 31 Disember ini.

Lazimnya, Santa Claus muncul dan dikerumuni kanak-kanak yang inginkan hadiah. Tetapi di Aquaria, Santa Claus dikejar ikan yang menuntut hidangan tengah hari daripadanya.

Menurut Pengarah Urusan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong, pihaknya merangka banyak aktiviti menarik sepanjang 2014 dan diakhiri aksi Scuba Santa sempena Undersea Wonderland Christmas.

"Aktiviti yang disusun sepanjang tempoh sebulan ini merangkumi program menerapkan semangat saling memberi dalam kalangan pengunjung terutamanya kanak-kanak.

"Antaranya adalah sesi pembelajaran mengenali spesies jerung, pemuliharaan haiwan dan hidupan laut serta yang terbaru, pengenalan kepada aktiviti di Moon Lab," katanya.

Bagi menyemarakkan lagi tema sambutan Hari Krismas, dekorasi dalaman Aquaria turut diberi sentuhan baru dengan warna hijau dan merah yang sinonim dengan perayaan berkenaan.

Jika datang tepat pada masa pembukaan, pengunjung berpeluang melihat persembahan tarian selamat datang oleh petugas di Aquaria sambil diiringi maskot dan Santa Claus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:11 AM