PEMAIN Chelsea mahu kerap diturunkan untuk bukti kemampuan terap taktikal jurulatih.

London: Cesc Fabregas percaya dia sudah membuktikan keupayaannya untuk menjadi sebahagian daripada ‘resipi’ pengurus Chelsea Antonio Conte walaupun sebelum ini khidmatnya sering tidak diperlukan.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu sudah memainkan peranan lebih penting sejak kembali ke kesebelasan utama awal bulan ini selepas tidak beraksi dua bulan.

Diturunkan dalam dua daripada tiga perlawanan terakhir Chelsea, dia dijangka dapat mengekalkan tempatnya apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bertemu seteru London Crystal Palace malam ini.

Fabregas seolah-olah memastikan kedudukannya di dalam kesebelasan utama menerusi gol tunggal ketika menentang Sunderland minggu ini, sekali gus membantu pasukannya menang buat kali ke-10 berturut-turut dan mengukuhkan cengkaman di persada liga sambil memiliki kelebihan enam mata berbanding pasukan di tangga kedua Liverpool.

Masa depan Fabregas di Stamford Bridge sering dipersoalkan, tetapi bekas bintang Arsenal itu percaya dia sudah membuktikan bahawa dirinya mampu menerap formasi 3-4-3 yang diamalkan Conte selama ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:16 AM