THANAPON ketika ditahandi Balai Polis Daerah Doi Lo kelmarin. - Bangkokpost

Chiang Mai: Seorang lelaki tergamak membunuh isterinya sebelum membakar mayat mangsa semata-mata rahsianya mempunyai wanita simpanan terbongkar.

Thanapon Pareesen, 43, ditahan kelmarin selepas mayat isterinya, Janjira Kerdkaew, 50, ditemui rentung di sebuah kebun buah-buahan di daerah Doi Lo Isnin lalu.

Menurut media tempatan, Thanapon mula merancang membunuh Isterinya selepas wanita itu meminta cerai selepas mengetahui dia mempunyai wanita simpanan.

Sebelum Janjira dibunuh, Thanapon bersama rakannya, Nirandorn Kaewjaeja bertemu wanita itu untuk berbincang mengenai perceraian mereka dan hutangnya dengan mangsa.

Ketika pertemuan itu, Thanapon menjerut leher isterinya dengan tali hingga wanita itu tidak sedarkan diri.

Thanapon dan Nirandorn kemudian membawa wanita itu ke kebun buah-buahan sebelum membakar mangsa.

Mengikut laporan media, wanita itu tersedar apabila tubuhnya dijilat api dan cuba melarikan diri tetapi dipukul oleh suspek.

Ketika disoal-siasat, Nirandorn mendakwa Thanapon memberinya kereta dan telefon jenis iPhone milik wanita itu sebagai upah kerana membantunya.

Nirandorn ditangkap polis sehari selepas mayat Janjira ditemui apabila pihak berkuasa berjaya menjejaki iPhone milik mangsa.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:16 AM