Konvoi bas berkumpul di Ramussa menunggu untuk membawa penduduk Alepppo, sebelum operasi pemindahan digantung petang ini. - Foto SANA/AP
Agensi

Aleppo: Kumpulan bersenjata Syiah tajaan Iran yang membantu tentera Syria menghadapi pemberontak yang majoritinya Sunnah, mengambil kesempatan menimbulkan kekacauan hingga menjejaskan operasi pemindahan orang awam dari Aleppo bagi menuntut penduduk di dua perkampungan Syiah di Idlib juga dipindahkan.

Dua perkampungan itu, Fuaa dan Kafraya dalam wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak dikepung dan dibedil sejak 2015

Pengarah Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Syria berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman, berkata kumpulan bersenjata Ahrar al-Sham dan kumpulan lain menghalang bas dan ambulans yang membawa penduduk Aleppo daripada bertolak hari ini.

Menurutnya, kumpulan bersenjata Syria juga menghalang laluan keluar dari Aleppo.

Kerajaan Syria dan sekutunya, Iran dilaporkan menghalang pemindahan penduduk di Aleppo hari ini, sehingga persetujuan dicapai membenarkan mangsa yang yang cedera di dua perkampungan itu dibawa keluar.,

Agensi berita milik kerajaan Turki mendakwa kumpulan bersenjata penyokong regim Presiden Bashar al-Assad menyerang konvoi itu hingga menyebabkan operasi pemindahan digantung.

Agensi berita Anadolu menyatakan, ‘kumpulan pro-regim’ melepaskan tembakan ke arah konvoi dan ramai berkumpul di laluan keluar menghalang bas daripada bergerak.

Sebelum ini, pihak berkuasa Syria yang menggantung pemindahan orang awam dan pemberontak dari Aleppo itu, mendakwa pemberontak tidak mematuhi syarat dalam perjanjian gencatan senjata serta pemindahan kerana turut membawa tahanan yang ditawan ketika pertempuran sebelum ini, bersama mereka serta senjata berat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 7:19 PM