Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my


Ampang: Kanak-kanak lelaki yang berada di sengkuap (awning) rumah di tingkat tiga diselamatkan anggota bomba dan penyelamat di Pandan Mewah, Ampang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Skein Citbanchong Wee San berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian berkenaan pada 10.34 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati kanak- kanak berusia sembilan tahun itu dilihat berada di sengkuap rumahnya di tingkat tiga flat lima tingkat berkenaan.

"Ketika kejadian itu juga pintu utama didapati berkunci dan ibu bapa kanak- kanak itu tiada dirumah kerana sudah keluar bekerja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, pihaknya berjaya memasuki rumah mangsa melalui pintu utama dan mangsa berjaya dipujuk serta diangkat masuk semula ke dalam kediamannya.

Tidak dapat dipastikan bagaimana budak itu boleh berada di atas sengkuap terbabit.

Bagaimanapun,  dia dipercayai cuba turun dari tingkat tiga kerana menurut bomba begnya dicampak ke bawah.

Katanya, kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi berkenaan tamat pada 11.06 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 3:53 PM
ANGGOTA bomba menyelamatkan kanak-kanak lelaki dari sengkuap. FOTO Hafiz Sohaimi