Ahmad Saufi Idris dan Farra Liza Mohd Musa bersama hadiah dimenangi selepas muncul johan Majlis Tilawah al-Quran Syarikat Korporat Peringkat Kebangsaan kali-3 di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya di sini, malam tadi.FOTO Samadi Ahmad.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Qari dari Telekom Malaysia Berhad (TM), Ahmad Saufi Idris dan qariah Lembaga Tabung Haji (TH), Farra Liza Mohd Musa muncul johan Majlis Tilawah al-Quran Syarikat Korporat Peringkat Kebangsaan kali-3 di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya di sini, malam tadi.

Ahmad Saufi dari Ipoh, Perak memperoleh markah 92 peratus manakala Farra Liza memperoleh markah 93 peratus, sekali gus berjaya mempertahankan kejuaraan mereka bagi kali kedua berturut-turut.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej umrah sumbangan TH, piala dan sijil penghargaan.

Naib johan qari dan qariah pula masing-masing dimenangi Mohd Zaki Ismail dan Rahimah Abdurrahim, kedua-dua mereka mewakili PETRONAS yang membawa pulang RM4,000, tiket Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) pergi balik dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, piala dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga qari dan qariah dimenangi Tugiman Sabudin dari Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Nor Azilah Jaafae dari DRB-Hicom, masing-masing membawa pulang RM3,000, tiket ETS pergi balik dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, piala dan sijil penghargaan.

Semua hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM (Pembangunan Islam) Paimuzi Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Badlishah Abdul Ghani.

Seramai 23 peserta terdiri 14 qari dan sembilan qariah mengambil bahagian mewakili syarikat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 12:20 PM