LABORDE (kiri) jaring gol kedua Bordeaux.
BLAISE Matuidi (kiri) ceria meraikan jaringan Jese.
AFP

Paris: Juara bertahan Paris Saint-Germain melangkah selesa ke suku akhir Piala Liga Perancis dengan kemenangan 3-1 ke atas Lille sementara Monaco membelasah Rennes 7-0.

Bagaimanapun, pendahulu Ligue 1 Nice pula tersingkir apabila tewas 2-3 kepada Bordeaux dalam aksi 16 pasukan terakhir.

Di Parc des Princes, PSG menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila skuad kendalian Unai Emery itu menewaskan Lille yang dianggap sebagai aksi ulangan final musim lalu.

Lucas menjaringkan dua gol menerusi penalti pada minit ke-43 dan 57 sebelum penyerang muda Sepanyol Jese memanfaatkan aksi kedua di dalam kesebelasan utama untuk gol ketiga pada minit ke-69.

“Jese mempamerkan peningkatan ketika perlawanan dan menjaringkan gol,” kata Emery.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuknya tetapi dia menemui rentak dalam perlawanan itu. Apa yang jelas, dia perlu kerap bermain.”

PSG akan menentang Metz yang menang menerusi penentuan penalti 11-10 ke atas Toulouse pada satu lagi pertemuan.

Monaco yang memburu gelaran pertama menyaksikan pemain berusia 17 tahun, Kylian Mbappe meledak hatrik pertamanya ketika skuad Principality itu turut mara ke suku akhir.

Mbappe yang bakal berusia 18 tahun, 20 Disember ini, sudah menjaringkan enam gol sepanjang musim ini.

Rennes pula pastinya bosan dengan suasana di Stade Louis II di mana mereka tewas 0-3 dalam perlawanan liga, September lalu.

Jaroslav Plasil meletakkan Bordeaux di depan selepas 14 minit permainan menentang Nice dan jaringan Gaetan Laborde pada minit ke-22 menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Alassane Plea merapatkan jurang seminit sebelum tamat separuh masa.

Laborde kembali memastikan Bordeaux memiliki kelebihan dua gol di depan pada minit ke-55 dengan penalti Mario Balotelli pada minit ke-83 menjadi sagu hati buat Nice yang sudah pun tersingkir daripada Liga Europa musim ini.

Lyon yang turut tersingkir daripada kejohanan itu, tewas 3-4 menerusi penalti kepada Guingamp di laman sendiri selepas seri 2-2 pada masa sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 6:39 AM