PESERTA mengutip sampah dan ranting kayu di Pulau Perhentian.
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my


Menyedari pentingnya ilmu mengenai kehidupan marin, seramai 40 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad (SMKDA) Lenggong, Perak berkampung di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti dipelajari peserta seperti selam snorkel, menyelam dan melihat spesies penyu di dasar lautan, mempelajari teknik berenang dan bergotong-royong membersihkan pantai.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibimbing sukarelawan termasuk guru sekolah itu bagi memastikan aktiviti berkenaan mencapai matlamat.

Aktiviti itu sesuai kerana Pulau Perhentian yang terletak kira-kira 10.8 batu nautika ke timur laut Kuala Besut memiliki gugusan pulau iaitu Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Susu Dara dan beberapa pulau kecil lain manakala air lautnya jernih.

Ketua Program, Ramli Mustafa berkata, selepas memberi makan kepada ribuan ikan jinak di bawah jeti, peserta dibawa ke Long Beach iaitu kawasan penyu bertelur ketika tiba musimnya.

“Di sini, peserta mempelajari aktiviti selam snorkel kerana airnya cetek, luas dan tenang serta banyak spesies ikan jinak berenang di samping mereka.

“Peserta turut dibawa ke Taman Laut Pulau Perhentian untuk menyaksikan pelbagai spesies ikan bersaiz besar tetapi tidak dibenarkan mengusiknya kerana ‘lubuk’ ikan itu hanya untuk sajian mata pelancong,” katanya.

Menurutnya, peserta juga dididik menyayangi tupai di Pusat Peranginan Pulau Perhentian apabila haiwan jinak itu makan di tangan dan berani turun dari pokok untuk bertemu pengunjung.

“Banyak ilmu dan pengalaman ditimba kerana kebanyakan peserta sebelum ini cukup asing dengan kehidupan marin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:01 AM