Kok Siong maut selepas Perodua Myvi dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 52 Lebuhraya Senai - Desaru, manakala Roslan meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru - Mersing dekat Batu 6, Jalan Mawai. FOTO ihsan bomba dan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Dua maut dalam kemalangan berasingan di daerah ini pada pagi dan tengah hari tadi.

Dalam kemalangan pertama 8.40 pagi tadi, peniaga kedai makan maut selepas Perodua Myvi dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 52 Lebuhraya Senai - Desaru, di sini.

Che Kok Siong, 21, maut, manakala pemandu Audi berusia 49 tahun dan pemandu pacuan empat roda, Ford Ranger berusia 32 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Desaru menghala ke Ulu Tiram memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebelah kanan Audi berkenaan sehingga ia hilang kawalan dan melanggar penghadang kiri jalan menghala Desaru sebelum melintang di tengah jalan.

"Pacuan empat roda dari arah Desaru yang dalam perjalanan ke Johor Bahru pula cuba mengelak Audi itu lalu melanggar penghadang kiri jalan menghala ke Ulu Tiram.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi tersepit dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang oleh ambulans sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Dalam kemalangan kedua tengah hari tadi, peneroka FELDA meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru - Mersing dekat Batu 6, Jalan Mawai di sini.

Rahmat berkata, motosikal ditunggang Roslan @ Ramlan Kamijoh, 74, dari FELDA Bukit Aping Timur menghala ke Kota Tinggi bergesel dengan sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala pemboncengnya yang juga seorang suri rumah dihantar ke Hospital Kota Tinggi di sini, untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi kedua-dua kemalangan berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil membantu siasatan.

"Dalam kemalangan kedua, pemilik kenderaan yang terbabit diminta tampil membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:50 PM