Keadaan kereta Proton Wira yang remuk dalam kemalangan di KM 1, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Che Lijah. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: Budak perempuan berusia enam tahun maut selepas kereta dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Che Lijah, di sini ,2 petang tadi.

Nik Nurulirdina Nik Azmin, 6, dari Kampung Pinang Baru, di sini disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama ibu dan neneknya dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun manakala sebuah lori seberat 10 tan tanpa muatan dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira dipandu ibu mangsa, Nurul Shuhada Mat Rani, 25, dikatakan berlanggar dengan lori berkenaan.

"Mangsa yang parah dan tersepit di tempat duduk belakang dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.

"Ibu dan nenek mangsa, Khatijah Musa, 56, yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Amri Mohamad berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.

Katanya, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan ibu dan nenek mangsa yang turut tersepit sebelum mereka dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:59 PM