Tentera pro-kerajaan Syria memasuki kawasan Jisr al-Haj, Aleppo, yang sebelum ini dikuasai pemberontak. - Foto AFP
Dulu dan sekarang. Keadaan jalan di Bandar Lama Aleppo yang amat berbeza, satu masa kawasan perniagaan utama namun kini musnah akibat bedilan meriam dan serangan udara. - Foto REUTERS
Analislis

Beirut: Tanpa bantuan Russia yang melancarkan serangan udara dan pengeboman menggunakan pesawatnya, sokongan langsung Iran yang pegawai kanan pemerintah Pengawal Revolusi menjadi penasihat tentera di Syria serta menyediakan gerila kumpulan bersenjata Syiah dari Lubnan, Iraq, Afghanistan dan Pakistan, Presiden Bashar al-Assad mungkin tidak berupaya menghadapi tentangan pemberontak. termasuk menawan kembali Aleppo.

Ketika pemberontak Sunnah melancarkan serangan terakhir bagi memecahkan kepungan Aleppo pada Oktober, mereka menghadapi tentangan sengit, namun bukan daripada tentera Syria sebaliknya oleh kumpulan bersenjata Syiah Lubnan, Hezbollah.

Keadaan ini menunjukkan peperangan selama enam tahun di Syria, Bashar bergantung sepenuhnya kepada gerila asing Syiah yang ditaja Iran.

Menurut sumber pemberontak, gerila yang ditawan mereka ketika Bashar melancarkan serangan bagi menawan Aleppo bulan lalu, tiada seorang pun tentera Syria.

Ketika Presiden Russi Vladimir Putin memulakan kempen pengeboman di Syria tahun lalu, tentera Bashar sedang kalah namun kini regimnya mara dari dari satu bandar ke satu bandar dengan Aleppo menjadi kemenangan terbesar.

Pesawat Russia memainkan peranan besar melemahkan kedudukan pemberontak di Aleppo seperti Putin memusnahkan ibu negara Chechnya, Grozny, dalam perang 1999 -2000.

Di Syria, terutama Aleppo, pesawat Russia menggugurkan bom teknologi tinggi, membakar hidup-hidup orang awam, wanita dan kanak-kanak dengan bom berangkai dan pemusnah kubu yang mampu meruntuhkan bangunan dan menyebabkan kawah besar. Hospital dan kediaman turut dibom.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria, helikopter turut menggugurkan bom klorin, dakwaan dinafikan Bashar walaupun wujud bukti senjata kima digunakan.

Russia juga menyediakan penasihat tenteranya di Syria dan kematian pemerintah kereta kebal Russia di Aleppo menunjukkan ia juga membekalkan senjata berat bagi membedil Aleppo.

Kehadiran Russia juga menjamin satu perkara - tiada campur tangan Barat di Aleppo - walapun seluruh dunia mendesak dihentikan pertumpahan darah di bandar raya itu.

Di darat, gerila Syiah yang dibiayai Iran dari Afghanistan, Iraq dan Pakistan (Tiger Force Hezbollah beroperasi sendiri) serta pasukan elit Pengawal Revolusi Iran memainkan peranan penting memastikan kepungan Aleppo berjaya.

Penembak tepat Hezbollah (yang amat terlatih berperang dengan Israel) berjaya mematahkan banyak cubaan serangan bom berani mati oleh pemberontak menggunakan kenderaan bagi memecahkan kepungan

Oktober lalu, pemberontak cuba melancarkan serangan bom berani mati menggunakan kereta dan lori terhadap kedudukan tentera kerajaan di barat Aleppo. Tentera Syria melarikan diri namun penembak tepat Hezbollah tidak berganjak dan melepaskan tembakan, meletupkan kenderaan itu sebelum ia mengenai sasaran.

Seorang gerila Hezbollah memusnahkan kereta sarat dengan bom dari jarak 200 meter dan dia mati akibat letupan itu.

Pemberontak juga tidak mempunyai senjata secukupnya kerana sekutu utama - Amerika, Turki, Arab Saudi dan dan Qatar - tidak lagi memberi bantuan apabila pesawat Russia mula mengebom.

Mereka dibekalkan dengan peluru berpandu anti-kereta kebal melalui bantuan ketenteraan CIA namun Amerika enggan memberi peluru berpandu darat ke udara kerana bimbang jatuh ke tangan pihak yang salah,

“Ia seperti menghadapi perang moden dengan pedang. Keberanian tidak akan membawa ke mana-mana tanpa kelengkapan sewajarnya,” kata seorang pemimpin pemberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:51 PM