Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas dilihat terjatuh ke dalam sungai dari Jambatan Sungai Balak, Kampung Simpang Balak, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kajang: Dua beradik berusia 11 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas dilihat terjatuh ke dalam sungai dari Jambatan Sungai Balak, Kampung Simpang Balak, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Faizad Amirul Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada 3.19 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang serta pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Siasatan mendapati mangsa dua beradik adalah Ahmad Basri Ahmad Tarmizi, 11 dan Mohammad Afizuddin Ahmad Tarmizi, 14 tahun.

"Operasi menyelamat di permukaan, selaman dan pencarian dari tepi sungai dijalankan pasukan penyelamat bersama orang awam tetapi masih belum mengesan mangsa.

"Ibu bapa mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan kini berada di lokasi mencari dan menyelamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:50 PM