Bas untuk memindahkan penduduk Aleppo beratur di Ramouseh, kawasan Aleppo yang dikuasai tentera Syeria. - Foto REUTERS
Agensi

Beirut: Pihak yang berperang di Syria mengesahkan proses pemindahan orang awam dan pemberontak dari Aleppo akan diteruskan dengan kerajaan Syria, Russia dan kumpulan bersenjata penyokong Presiden Bashar al-Assad menyatakan pemindahan itu akan berlaku bila-bila masa.

Kira-kira 4,000 keluarga dijangka meninggalkan Aleppo, bandar raya kedua terbesar Syria, yang kini musnah selepas bertahun-tahun dibedil dan dibom.

Namun tidak dapat dipastikan bila pemindahan itu akan bermula kerana konvoi pertama bagi membawa keluar penduduk yang sakit dan cedera dari Aleppo tengah hari ini (waktu Malaysia, ditembak gerila pro-kerajaan menyebabkan tiga cedera.

Reuters melaporkan, ketua perkhidmatan ambulans, Ahmed Sweid, berkata: “Konvoi ditembak gerila pro-kerajaan menyebabkan tiga cedera. Konvoi itu berpatah balik ke Aleppo.”

Menurut Orient TV, konvoi berkenaan membawa sebahagian besar penduduk yang cedera, sudah sampai di kawasan Ramousah apabila ia berhenti akibat ditembak dan berpatah balik ke Aleppo.

Sementara itu, menurut AFP, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan ia bekerjasama dengan Syria bagi pemindahan pemberontak.

“Atas arahan Presiden Russia Vladimir Putin, pusat pemantu gencatan senjata Russia menyediakan pemindahan baki pemberontak dan anggota keluarga mereka dari timur Aleppo,” kata kenyataan kementerian itu.

Pemberontak akan dibawa ke bandar Idlib di utara Syria menggunakan 20 bas dan 10 ambulans.

Kementerian itu menyatakan kerajaan Syria memberi jaminan keselamatan pemberontak yang meninggalkan Aleppo.

Pengunduran pemberontak itu memberi kemenangan besar kepada Bashar dalam usahanya menangkis serangan bersenjata terhadapnya sejak Mac 2011.

Kejatuhan Aleppo kepada tentera Syria menjadi kekalahan terburuk pemberontak sejak perang tercetus membolehkan regim Bashar menguasai lima bandar raya utama Syria.

Perang saudara di Syria antara tentera regim Bashar yang disokong Russia, Iran serta kumpulan bersenjata Syiah termasuk Hezbollah dari Lubnan, dengan pemberontak bermula pada 2011, sudah menyebabkan lebih 300,000 orang terbunuh manakala jutaan lagi kehilangan tempat tinggal. Pemberontak mendapat sokongan Amerika Syarikat, Turki dan negara Teluk, termasuk Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 5:20 PM