LOO See Lee diiringi polis selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Bekas ahli perniagaan jual beli kereta mewah dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan mengedar 164.92 gram methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.

Tertuduh, Loo See Lee, 49, didakwa mengedar dadah berbahaya itu di hadapan bengkel kereta beralamat JK 2-3, Belakang surau, Jalan Kenanga 2, Taman Plentong Baru, Masai di sini, jam 3 petang, 31 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 31 ogos 2014 atas pertuduhan kedua memiliki 0.78 gram nimetazepam pada masa, hari dan tempat yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Tujuh saksi pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini sepanjang perbicaraan, manakala tiga saksi pembelaan dipanggil termasuk tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Arif Aizuddin Masrom.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 2:27 PM