RIZAM Sahar (kanan) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pasir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan pecah amanah harta syarikat dan melakukan pemindahan wang hasil aktiviti haram antara November 2014 hingga Mac tahun lalu.

Tertuduh, Rizam Sahar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, Rizam didakwa memindahkan wang berjumlah RM105,000 daripada akaun bank miliknya melalui dua keping cek ke dalam akaun Public Bank RS Star Contractor & Construction Sdn Bhd iaitu hasil aktiviti haram.

Dia melakukan perbuatan itu di Public Islamic Bank (M) Bhd cawangan Ulu Tiram di Taman Tiram Baru, dekat sini antara 29 Disember 2014 dan 2 Februari 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rizam dengan curangnya menyalahgunakan harta, iaitu wang sejumlah RM1,249,286 hasil royalti pengeluaran pasir milik Syarikat Dinamik Gabungan Wilayah JB Sdn Bhd melalui akaun Public Bank di lokasi yang sama antara November 2014 hingga Mac 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Hafiz Halil manakala tertuduh diwakili peguam, R Subash.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport tertuduh kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 1 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 2:23 PM