FOTO hiasan
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pasir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan iaitu pecah amanah harta syarikat dan melakukan pemindahan wang hasil aktiviti haram antara November 2014 hingga Mac 2015.

Rizam Sahar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa memindahkan wang RM105,000 daripada akaun bank miliknya melalui dua keping cek ke akaun Public Bank RS Star Contractor & Construction Sdn Bhd iaitu hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Public Islamic Bank (M) Bhd cawangan Ulu Tiram di Taman Tiram Baru di sini, antara 29 Disember 2014 dan 2 Februari 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Mengikut tuduhan itu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Bagi tuduhan kedua, Rizam didakwa dengan curang menyalahgunakan wang sebanyak RM1,249,286 hasil royalti pengeluaran pasir milik Syarikat Dinamik Gabungan Wilayah JB Sdn Bhd melalui akaun Public Bank di lokasi sama antara November 2014 hingga Mac 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Hafiz Halil dan tertuduh diwakili R Subash.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 1 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 12:17 PM