GAMBAR bertarikh 23 Julai 2016 ini menunjukkan seorang wanita memeluk mayat suaminya yang ditembak mati individu tidak dikenali di Manila. - AFP
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengaku pernah membunuh penjenayah ketika menjadi datuk bandar bagi menunjukkan contoh kepada polis.

Duterte membuat pengakuan itu dalam satu pertemuan dengan sekumpulan ahli perniagaan lewat kelmarin ketika membincangkan kempen memerangi dadahnya.

Kempen itu yang dilancarkan Duterte sejak dia berkuasa pada 30 Jun lalu menyaksikan ribuan suspek dadah mati dibunuh polis dan individu tidak dikenali.

Duterte berkata, dia turut melakukan usaha itu ketika menjadi datuk bandar Davao di selatan Filipina selama 20 tahun.

“Di Davao saya biasa lakukannya sendiri. Saya mahu menunjukkan kepada mereka (polis), sekiranya saya boleh lakukan mengapa mereka tidak boleh.

“Saya akan meronda Davao menaiki motosikal dan meronda untuk mencari jenayah yang berlaku supaya saya boleh membunuh,” katanya.

Duterte juga berikrar untuk meneruskan kempen itu dan mengecam kritikan kumpulan hak asasi manusia serta pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

“Jika mereka cakap saya takut dan menghentikan (kempen) kerana hak asasi manusia dan individu termasuk Obama, maaf, saya tidak akan lakukannya,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini menuduh Duterte menubuhkan skuad pembunuh di Davao yang membunuh lebih 1,000 suspek penjenayah.

Duterte sering mengeluarkan kenyataan berbeza apabila kadang-kala menafikan dan mengaku pembabitannya dalam skuad pembunuh berkenaan.

Ketika mula menjadi presiden, Duterte pernah menyeru rakyat negara itu dan juga anggota keselamatan membunuh penagih dan pengedar dadah.

Bagaimanapun, pada masa sama, Duterte menegaskan dia dan pasukan keselamatan tidak akan melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 8:25 AM