SHAIFFUDIN (dua dari kanan), Azuanis (dua dari kiri) bersama Naim (kiri) dan Nur Aina di Dewan Perdana, UniSZA.

Kuala Nerus: Kejayaan dua atlet memanah mengharumkan nama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa membolehkan mereka dinobat sebagai Olahragawan Anugerah Kecemerlangan Sukan UniSZA 2015/2016.

Atlet Program Kita Juara 2017 Muhammad Shaiffudin Mohd Kamro mengetepikan empat calon lain iaitu atlet mendayung, Muhammad Rabani Hashim; Amir Muhammad Zulfadhli Mohd Faizal (boling padang) serta dua atlet bola sepak Mohamad Hazazi Mazuki dan Mohd Hafiz Abu Bakar.

Azuanis Abdullah yang mewakili negara di Kejohanan Universiti Dunia 2016 pula menewaskan rakan sepasukan Siti Nurul Asiah Mahmod; Nasuha Najmi (taekwando) dan Norliyana Zailani (karate-do) untuk bergelar Olahragawati.

Kedua-dua atlet itu menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan, blazer dan trofi yang disampaikan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Latif.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA Prof Dr Nik Wan Omar dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA Riduan Mohd Arof.

Muhammad Shaiffudin menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai satu suntikan moral buat dirinya untuk terus cemerlang dalam sukan memanah.

Atlet Program Kita Juara 2017 itu berkata, dia kini sedang mengikuti program persediaan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan dan berharap terpilih mewakili negara di temasya sukan dwitahunan itu.

“Saya kini sedang mengikuti fasa kedua dalam Program kita Juara 2017. Memang harapan saya mahu terpilih mewakili negara di Sukan SEA buat kali pertama,” katanya yang ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan UniSZA di Dewan Perdana, Kampus Gong Badak, semalam.

Atlet kelahiran Kemaman itu berkata, dia kini bersaing dengan dua lagi atlet dalam Program Kita Juara dan akan membuat yang terbaik buat kontinjen negara sekiranya terpilih ke Sukan SEA.

Dalam pada itu, Azuanis yang mewakili negara di Kejohanan Universiti Dunia 2016 menewaskan rakan sepasukan iaitu Siti Nurul Asiah Mahmod; Nasuha Najmi (taekwando) dan Norliyana Zailani (karate-do).

Pemain bola sepak UniSZA, Muhammad Naim Mohd Nasir yang membantu pasukan muncul juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi dinobat Olahragawan Harapan Lelaki manakala atlet memanah Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Nur Aina Yasmine Halim diumum Olahragawati Harapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:16 AM