FREEPORT A’Famosa Outlet berkonsepkan warisan Belanda.
Nur Ain Musdad
rencana@hmetro.com.my

Jika mahukan percutian hebat bersama keluarga atau rakan tanpa perlu ke luar negara, A’Famosa Resort pasti destinasi tepat.

Berkeluasan 520 hektar, ia menjanjikan kepuasan dan keseronokan berganda kepada pengunjung menerusi pelbagai taman tema, penginapan, padang golf antarabangsa dan pusat beli-belah barangan berjenama.

Sejak dibuka pada 1996, A’Famosa Resort yang terletak di Simpang Ampat, Alor Gajah menjadi destinasi tumpuan pengunjung yang inginkan percutian jauh daripada kesibukan kota.

Pengunjung boleh memilih tiga jenis penginapan iaitu hotel, kondominium dan vila yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Bagi yang memilih vila, empat bilik standard dan superior disediakan dengan reka bentuk dan dekorasi menarik serta ruang tamu luas cukup selesa untuk berehat.

Keseronokan percutian boleh dimulakan dengan aktiviti bermain air di taman tema air terbesar di Malaysia yang menawarkan lebih 14 jenis gelongsor air yang pastinya memberikan kepuasan dan pengalaman berbeza. Antaranya permainan Big Ice Cream, Wahaha dan Hula-hula.

Selain itu, A’Famosa Resort juga menyediakan pelbagai jenis permainan air untuk kanak-kanak seperti Lazy River, Wave Pool, Family Raft, Arabian Village dan Kids Adventure Pool.

Bagi yang gemarkan pengalaman unik boleh berkunjung ke Safari Wonderland yang dipenuhi pelbagai haiwan termasuk burung, binturong, orang utan, harimau, unta dan zirafah.

Pelbagai aktiviti riadah turut disediakan seperti Elephant Encounter Show, Multi Animal Fun Play, Colour Of The Birds, Tiger Encounter, Crocodile Alive, Animal Ride dan Wild Wild West Show yang pasti menjadi tumpuan kanak-kanak kerana dapat mempelajari banyak maklumat sambil berseronok.

Mereka juga berpeluang mengenali dan menyentuh pelbagai haiwan menerusi sesi Walk-Thru Area.

Pengunjung boleh merasai pengalaman luar biasa di Safari Wonderland apabila berpeluang menyeberangi tasik menaiki rakit bermotor ke Monkey Island yang turut mempunyai pelbagai haiwan.

Percutian di A’Famosa bagaikan tidak lengkap jika tidak meluangkan masa di taman tema Old West atau lebih dikenali sebagai Cowboy Town yang sentiasa menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kemeriahan pesta Old West boleh dirasai dengan adanya panggung 4D Cinema, taman tema untuk kanak kanak, perarakan Carnival Musical Parade, Red Indian Show dan pertunjukan bunga api yang pasti mampu memberikan keseronokan sepanjang malam.

A’Famosa Resort juga menyediakan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan sambutan Krismas pada 25 Disember ini.

Bertemakan Fantasi Krismas, Taman Tema Old West akan dihiasi deretan pokok krismas selain menyediakan persembahan Hari Natal dengan kemunculan khas Santa Claus dan Santa Rina.

Old West juga akan mengadakan sambutan kiraan detik ambang malam tahun baru 2017.

A’Famosa Resort tidak hanya akan menjadi pilihan keluarga dengan taman temanya, malah syurga membeli-belah kepada mereka yang gemarkan pakaian berjenama.

Freeport A’Famosa Outlet (FAO) menyediakan 100 kedai dengan 80 jenama fesyen antarabangsa. Menggunakan slogan Hari-Hari Sale, ia sentiasa menawarkan potongan harga daripada 30 peratus hingga 70 peratus pada setiap hari kepada pelanggan.

Konsep seni bina FAO bertemakan warisan Belanda seiring dengan sejarah Melaka dilengkapi sebuah kincir angin, tasik buatan dan air pancut karusel.

FAO juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti restoran, medan selera, surau, bilik nurseri serta dewan konvensyen yang mampu menampung 1,700 orang pada satu-satu masa.

A’Famosa Resort juga menawarkan pakej percutian Marilah Bersuka Ria Sepuas Hati dengan harga daripada RM138 seorang termasuk penginapan dua hari satu malam, sarapan pagi, tiket masuk ke taman tema air, Safari Wonderland dan Old West serta kemudahan pengangkutan ke FAO.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut hubungi 03-27818888 atau layari www.afamosa.com atau www.facebook.com/afamosa.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:43 AM