REDZA (empat dari kiri) dan Pengarah JICA, Takashi Baba (tiga dari kanan) bersama wakil Kedutaan Jepun.

Kuala Lumpur: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan melaksanakan kajian daya maju potensi pembangunan loji tenaga teknologi hijau 50 MW.

Kajian projek usaha sama awam-swasta yang dibiayai Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) itu diketuai syarikat yang berpangkalan di Jepun, Panasonic Corp serta Newjec Inc.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq berkata, kajian itu meliputi pembangunan bekalan tenaga dan pelaburan yang diperoleh menerusi stesen penjanaan tenaga fotovolta.

“Sinar matahari di wilayah ini secara puratanya lebih tinggi daripada tempat lain di Malaysia dan sesuai dengan rancangan cadangan PEGS di Koridor Utara,” katanya.

Fotovolta (PV) adalah kaedah untuk menukar tenaga solar kepada arus terus elektrik menggunakan bahan semi konduktor yang mencetuskan kesan fotovolta. Kesan PV adalah hasil pewujudan voltan atau arus elektrik dalam bahan apabila terdedah kepada cahaya.

Katanya, kajian yang bermula Januari hingga Ogos 2015 itu akan menentukan daya majunya projek itu dan menentukan pelaksanaan operasi projek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:08 AM