Krishnan Murthy (baju putih) dan Gayathri (belakang) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasangan kekasih dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah mengedar 385.1 gram dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

P Krishnan Murthy dan S Gayathri, masing-masing berusia 31 tahun didakwa terhadap dua tuduhan mengedar campuran heroin dan monoacethylmorphines dengan berat bersih 272.14 gram serta 112.96 gram methamphetamine.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, keterangan pada kes pembelaan bahawa dadah ditemui di rumah sewa tertuduh milik seorang lelaki dikenali sebagai Gunalan hanya penafian semata-mata.

“Mahkamah mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan lelaki bernama Gunalan dalam pemilikan dadah itu dan pihak pembelaan gagal membuktikan yang Gunalan mempunyai akses kepada rumah yang didiami tertuduh," katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Blok C, Apartment Sri Impian, Larkin Perdana di sini, pada jam 9.15 malam, 25 Mei 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Sekysen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini dan menambilkan sembilan saksi manakala pembelaan yang diwakili Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Arif Aizuddin Masrom mengemukakan enam saksi termasuk kedua-dua tertuduh sendiri.

Krishnan Murthy sebelum ini bekerja kilang manakala Gayathri adalah pendandan rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 2:20 PM