Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Miri: Suspek utama pembunuhan setiausaha PKR Miri, Bill Kayong tiba di Lapangan Terbang Miri untuk dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Suspek bergelar Datuk, 45, tiba di Lapangan Terbang Miri pada 11 pagi diiringi oleh anggota polis dan dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Miri pada 2 petang.

Isteri Bill Kayong, Hasyikin Hatta,41, bersama keluarganya turut dilihat berada di Lapangan Terbang Miri untuk menyaksikan sendiri dalang utama yang yang dipercayai merancang pembunuhan suaminya itu.

Ketika diiringi pihak polis, suspek dilihat sugul, berambut panjang malah dikatakan lebih 'berisi' berbanding sebelum ini.

Suspek ditahan Kementerian Keselamatan Awam China di Putian Provinsi Fujian semalam selepas lebih lima bulan melarikan diri selepas kejadian pada 21 Jun lalu.

Suspek dibawa pulang ke Malaysia oleh pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar ke Malaysia semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 1:59 PM
SUSPEK utama kes bunuh Bil Kayong tiba di Lapangan Terbang Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah