GAMBAR diambil pada waktu malam cantik dan berkualiti.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Mencari telefon dengan kombinasi harga dan spesifikasi hebat nampak mudah tapi jika anda benar-benar meneliti satu persatu produk di pasaran pasti pening kerana kedua-duanya sukar diperoleh bersama.

Nasib baik sebuah telefon pintar, SHARP M1 tidak akan membebankan anda dengan masalah di atas apabila ia menjawabnya dengan bergaya.

Apatah lagi jika anda mahukan telefon tanpa perlu pening kepala memikirkan soal spesifikasi, jadi jawapannya memang tepat dalam SHARP M1.

Penguji melihat kekuatan SHARP M1 terletak pada tiga faktor iaitu kamera beresolusi 13 megapiksel depan dan belakang. Ya anda dengarnya dengan betul, resolusi sama pada kedua-dua kamera memang masih belum menjadi kebiasaan bagi sesetengah produk tapi SHARP menciptanya dengan baik dan kemas.

Faktor kedua terletak pada rekaan cantik di belakang yang memperlihatkan lengkung 3D Corning™ Gorilla™ Glass hasil inspirasi DNA rekaan Jepun yang dibawa selain rekaan ketimuran yang bergaya dan bermutu tinggi.

Faktor ketiga pula ialah gabungan RAM 3GB serta ROM atau storan 64GB yang cukup serasi.

SHARP M1 datang dengan sensor khas direka di dalam yang membolehkan rakaman pada waktu malam sama kualitinya dengan rakaman jenis pencahayaan biasa.

Penguji paling menyukai kamera selfie yang menampakkan tahap profesional menggunakan telefon pintar ketika merakam gambar.

Mana tidaknya, penguji boleh fokuskan latar belakang atau objek tertentu dengan pantas selain fokus automatik memudahkan objek dipilih dengan tepat dan terperinci.

Kamera depan dengan format 77 darjah memang boleh membuatkan ramai masuk sekali dalam foto terbabit, jadi tiada muka separuh yang masuk dalam potret selfie.

Kapasiti RAM sebanyak 3GB dan storan ROM 64GB memperlihatkan operasi telefon dengan lancar. Terima kasih kepada fungsi pemprosesan pelbagai guna octa-core yang memaksimumkan tahap kecekapan mengurangkan beban kerja biasa.

Selain direka menggunakan pemprosesan Mediatek MT6753, ia juga didatangkan bersama sistem operasi Android v 6.0 Marsmallow.

Memiliki paparan penuh HD, Sharp M1dibina dengan skrin paparan FHD LTPD berukuran 5.5 inci manakala bezelnya pula memang kecil dan menampakkan jarak antara skrin dan sisi telefon secara minimum.

Bagi memaksimumkan penggunaan pengguna, anda boleh mendapatkan sokongan kad mikroSD hibrid dan peranti ini turut menyokong dwi kad sim.

Peranti senipis 7.6mm dengan berat hanya 151 gram ini tampil dengan bateri 2600mAh. Jika ditanya kepada penguji siapa yang patut membelinya, penguji akan menjawab ‘wanita’ kerana telefon yang anggun hanya sesuai untuk wanita yang cantik.

SHARP M1 dijual pada harga RM899 dengan dua pilihan warna iaitu merah jambu atau putih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 6:18 AM