MCLLROY
WOODS
SCOTT

Tahun yang perlu dilupakan oleh Tiger Woods yang dibelenggu kecederaan namun memberi kenangan manis buat pemain Ireland Utara Rory McIlroy selepas 'Celtic Tiger' itu merangkul dua kejuaraan utama pada 2014 untuk mendapatkan semula status sebagai pemain pilihan utama dalam perlawanan.

McIlroy menamatkan kempen dengan empat kemenangan dan lima naib juara dalam 23 pertandi­ngan di seluruh dunia membuktikan dia pemain golf hebat dalam apa yang dilihat sebagai penyerahan kuasa 'Tiger' kepada era baru 'Rory'.

Walaupun Woods, bekas pemain nombor satu gagal menambah 14 gelaran yang dimenanginya dan ha­nya beraksi lapan kejohanan dan musim yang singkat dan tanpa sebarang kemenangan, McIlroy terbukti menjadi pemain yang sukar untuk ditewaskan setiap kali memulakan aksi dalam setiap perlawanan.

McIlroy mendominasi kejohanan golf terbesar pada separuh kedua tahun 2014 selepas pemain kidal Amerika Syarikat Bubba Watson meraih gelaran Masters buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan pemain Jerman Martin Kaymer merangkul kemenangan dengan kelebihan lapan pukulan di Terbuka AS.

Henrik Stenson dari Sweden, Adam Scott (Australia) dan Sergio Garcia (Sepanyol) masing-masing meraih satu kemenangan dan mereka turut mempamerkan corak permainan golf yang hebat serta konsisten sepanjang tahun ini namun McIlroy meletakkan dirinya sebagai pencabar terdekat seperti apa yang dilakukan pada 2012.

Selepas mengharungi cabaran 2013 tidak menentu di atas lapangan, McIlroy bangkit sekali lagi untuk fokus dan konsisten apabila menamatkan saingan di kelompok 25 terbaik sepanjang 17 perlawanan dalam saingan Jelajah PGA 2013-14 dan merakamkan tiga kemenangan di kalangan 12 pemain di kedudukan 10 terbaik.

Dia turut menjulang trofi Jelajah Eropah buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan memainkan peranan penting untuk pasukan Eropah merangkul kemenangan Piala Ryder mengatasi AS September lalu.

McIlroy selepas itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila meraih kemenangan pertama dalam siri Jelajah Eropah di Kejohanan BMW PGA Mei lalu beberapa hari selepas memutuskan hubungan dengan tunangnya yang juga pemain tenis Caroline Wozniacki.

"Setiap kali bermula saya berasakan seperti saya mempunyai peluang untuk menang," kata McIlroy mengulas tahun 2014 yang luar biasa apabila merangkul kejuaraan utama berturut-turut, Terbuka British dan Kejohanan PGA selain kemenangan Jemputan WGC-Bridgestone.

"Itulah yang saya rasa, perlu melangkah ke depan, konsisten dalam permainan dan terus beraksi setiap minggu," kata juara utama empat kali itu.

McIlroy yang jatuh ke ranking enam dunia selepas bergelut dengan pertukaran alatan baru selain masalah di luar lapangan yang mengganggunya pada 2013, mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain golf utama menyebabkan lawannya menjangkakan dia akan terus berada di kedudukan itu untuk beberapa tahun lagi.

"Saya rasa kami akan menyaksikan sekurang-kurangnya penguasaannya (McIlroy)selama lima tahun sebagai pemain nombor satu dunia," kata bekas juara Terbuka AS Graeme McDowell kepada rakan senegara dan juga rakan lamannya itu dalam ruangan BBC Sport bulan lalu.

"Saya berpendapat dia akan terus mendominasi seperti apa yang dilakukan Tiger Woods pada awal tahun 2000."

Pada April, Watson mengatasi rakan senegara Jordan Spieth pada pusingan akhir menang kejohanan utama Masters yang pertama dengan tiga pukulan di Augusta National.

Dua bulan kemudian di Terbuka AS di Pinehurst, Kaymer mempamerkan aksi mantap untuk terus mengejar rapat dan memastikan statusnya sebagai antara pemain terbaik.

McIlroy memenangi Terbuka British, kejohanan tertua dalam golf dengan kelebihan dua pukulan di Royal Liverpool Julai lalu dan tiga minggu kemudian memenangi Kejohanan PGA di Valhalla dengan satu pukulan selepas terpaksa beraksi dalam keadaan cuaca yang hampir gelap.

Sementara itu Woods terlepas aksi Masters dan Terbuka AS kerana menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan pada bahagian belakangnya sebelum menamatkan saingan di Terbuka British di kedudukan ke-69.

Selepas terlepas aksi di Kejohanan PGA, dia sekali lagi terpaksa berehat selamat empat bulan untuk menjalani proses pemulihan kecederaan belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:07 AM