BAKAL timang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Akim mendedahkan sikap pelik isterinya, Stacy yang kerap memarahinya tanpa sebab tertentu sepanjang hamil anak sulung mereka.

Akim, 25, berkata, apabila bangun dari tidur, Stacy, 26, tiba-tiba boleh menjadi emosi tanpa sebab dan dia menjadi tempat Stacy melepaskan kemarahan.

Bagaimanapun, Akim menganggap situasi itu sebagai peluang baik untuk dia mengenali Stacy yang kini hamil tujuh bulan.

"Sebenarnya situasi ini membolehkan saya belajar untuk bersabar dan mengawal keadaan. Saya faham dia bersikap sedemikian kerana mengandung," katanya.

Menurut Akim, sejak hamil, isterinya mula menggemari masakan Melayu selain sentiasa mengidam makanan tradisi Sabah.

"Sebelum ini, Stacy jarang makan hidangan Melayu dan selalunya dia akan menyediakan masakan kampung sendiri," katanya.

Mengenai persiapan menyambut bayi, penyanyi lagu Mewangi ini berkata, dia membeli barang keperluan sesuai untuk lelaki dan perempuan kerana belum dapat melihat jantina anak.

"Oleh kerana anak 'menyorok' jantinanya, kami membeli keperluan tertentu saja seperti barangan mandi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 6:37 PM