Kuala Lumpur: Industri perbankan dijangka melalui cabaran berliku tahun depan berikutan harga minyak mentah global yang rendah akan memberi kesan ke atas prestasi sektor minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Presiden Persatuan Perbankan Islam Malaysia, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, melangkah ke hadapan, sektor perbankan dilihat agak mencabar, namun harga minyak mentah yang rendah diharap dapat diterjemahkan kepada harga barangan dan perkhidmatan lebih stabil.

“Kami menjangkakan peserta industri lebih berhati-hati terhadap kesan harga minyak mentah yang rendah dan pihak bank juga berhati-hati dalam meluluskan pinjaman.

“Dari segi kadar hutang isi rumah pula, buat masa ini pihak perbankan mengawal dengan baik kadar itu daripada terus meningkat,” katanya ketika ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah bersama Anak Yatim di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Mohd Redza berkata, untuk memastikan kadar hutang isi rumah tidak meningkat, pihak bank akan menyaring setiap kelulusan pinjaman diberikan kepada mereka yang layak dan mampu membuat bayaran balik.

Beliau turut mengulas mengenai kejatuhan ringgit baru-baru ini dan berkata, ia tidak mempunyai impak besar kepada sektor perbankan tempatan.

“Kebanyakan bank di negara ini, kadar tukaran asing yang dipegang terhad. Justeru, jika berlaku kerugian atau peningkatan dalam pertukaran asing ia boleh diuruskan.

“Lagipun, pihak perbankan di negara ini lebih tertumpu kepada pasaran domestik dan keadaan turun naik yang tidak menentu dalam kadar tukaran asing dilihat tidak akan membawa kesan atau kemudaratan kepada pihak perbankan di Malaysia. Dari segi kerugian ia adalah terhad,” katanya.

Beliau berkata, tahun depan Bank Muamalat menyasarkan peningkatan 15 peratus pendepositnya berbanding 700,000 yang ada setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:06 AM