IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Lelaki maut disyaki cuba menyelamatkan diri ketika rumah kedai dua tingkat didudukinya di Taman Sutera Jaya, Batu 2, Jalan Kuala Ketil, di sini, terbakar, awal pagi ini.

Difahamkan, mangsa 29 tahun tidur bersendirian di kedai runcit terbabit, ketika kejadian kira-kira 6 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani Anuar Zaini Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 6.27 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sedang marak di dalam rumah kedai dua tingkat dan anggota terpaksa memecahkan pintu belakang dan hadapan yang berkunci bagi memadam api.

"Api dikawal dan padam sepenuhnya 20 minit kemudian. Ketika membuat pemeriksaan anggota bomba menemui mangsa lelaki dalam tandas dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa mungkin cuba cari jalan keluar. Mangsa yang dibawa keluar kemudiannya disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 11:02 AM