DUA suspek tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes culik dan berbalas tembak dengan polis di Bukit Selambau, semalam direman tujuh hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Balkis Abdul Halim terhadap suspek berusia lewat 20-an itu bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Dua suspek tiba di mahkamah dengan kenderaan polis pada 9.10 pagi untuk direman manakala seorang lagi suspek terpaksa direman di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kerana cedera ketika cuba melarikan diri dalam insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu polis dalam siasatan kes culik membabitkan dua lelaki di Bukit Selambau awal pagi semalam.

"Polis masih menjalankan siasatan dari semua sudut punca berlakunya kes culik terbabit di mana setakat ini motifnya adalah dendam antara suspek dan dua mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971( Penalti Lebih Berat), Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) 363 KK, 411 KK dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958," katanya.

Saifi berkata, pada masa sama polis terus memburu suspek utama yang juga bekas anggota tentera berusia 26 tahun yang dapat melarikan diri setelah melepaskan tembakan ke arah mangsa dan kereta polis.

Harian Metro semalam melaporkan polis memburu seorang bekas tentera selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menculik dua lelaki di Bukit Selambau di sini.

Kejadian berlaku 4.30 pagi ketika suspek bersama tiga rakannya menculik kedua-dua mangsa berusia 30-an sebelum seorang daripada mereka dapat melepaskan diri dan meminta bantuan seorang rakan lain yang menghubungi polis.

Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dihantar ke lokasi sebelum menyelamatkan mangsa yang bersembunyi.

Ketika menyelamatkan mangsa, kereta peronda polis dihampiri empat lelaki dipercayai suspek menaiki Proton Wira Aeroback dan Naza Ria yang terus memecut laju sebaik menyedari kenderaan polis.

Suspek melepaskan dua das tembakan ke arah polis sebelum polis membalas tembakan ke arah tayar Naza Ria berkenaan menyebabkan kenderaan itu terbabas di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Selambau dan berlaku pergelutan dengan empat suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 4:30 PM