ANTARA hasil karya asli dan menarik yang dipaparkan dalam ARTAID16 kali ini.
ARTIS, wakil MAC dan MAF bergambar kenangan bersama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim.
SEBAHAGIAN daripada barisan artis kontemporari tempatan bersama wakil MAF dan MAC.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


AIDS dan HIV. Tahu, tetapi kurang yang sedar mengenainya. Faham bagaimana ia berlaku dan merebak, tetapi sukar pula memahami cara atau langkah untuk mencegahnya.

Tambah memeritkan apabila semakin ramai wanita khususnya suri rumah yang menghidapnya berikutan kurangnya maklumat dan persepsi tabu oleh masyarakat.

Tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, ramai yang menuding jari mencungkil kesalahan yang dilakukan golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS ini.

Amalan gaya hidup yang kurang sihat menjadi antara punca utamanya, namun jumlah terkini mendapati makin ramai wanita khususnya suri rumah menghidapnya berikutan tindakan nakal suami di luar rumah.

Jadi, perlukah kesalahan diletakkan ke atas wanita ini? Apa tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan wanita ini sejurus didapati diri positif HIV?

Persoalan ini yang mencetuskan penganjuran aktiviti amal anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) di White Box, Publika, Solaris Dutamas, baru-baru ini.

Pelancaran pameran lukisan ARTAID16 oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu dibuka kepada umum bertujuan memberi tumpuan kepada usaha membantu wanita tidak berkemampuan yang hidup dengan HIV di seluruh negara.

Pameran kali ini ditunjangi kurator Noor Mahnun Mohamed dengan keseluruhan 63 karya seni asli daripada 46 artis kontemporari tempatan.

Hasil jualan karya seni ini kelak akan disalurkan kepada MAF untuk membantu wanita terbabit mendapatkan program rawatan, jagaan dan sokongan yang sepatutnya.

“Kejayaan ARTAID15 tahun lalu yang berjaya meraih jumlah keseluruhan RM230,000 bukan saja memberikan semangat untuk kami menggiatkan lagi usaha sebegini, ia juga sebagai tanda aras untuk kami menggandakan usaha bagi memberi bantuan kepada lebih ramai wanita,” kata Pengerusi MAF, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.

Bertemakan ‘Love for Sale’, koleksi tahun ini meneroka subjek cinta - kesejagatan, kepelbagaian dan penuh rumit - di samping memberi perhatian kepada perbezaan jantina dan ketidaksamaan yang masih memberi kesan besar kepada wanita yang hidup dengan HIV dan AIDS ini.

Ramai artis wanita

Berbanding ARTAID15, pameran kali ini menonjolkan karya seni 11 artis wanita dari seluruh negara.

“Saya gembira melihat penyertaan ramai artis wanita dalam ARTAID16 ini dan ia membantu mengukuhkan lagi mesej yang cuba disampaikan MAF.

“Wanita yang terbabit dalam bidang seni ini sebenarnya bertanggungjawab melakar dan melukis realiti wanita lain dalam komunitinya, terutama bagi mereka yang bergelut dengan stigma masyarakat mengenai HIV.

“Kami harap lukisan dan hasil karya ini dapat membantu meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka serta mencambah nilai positif dalam kehidupan mereka,” kata Noor Mahnun.

Sehingga awal bulan lalu, lebih 12,000 kes jangkitan HIV membabitkan wanita dicatatkan.

Sebanyak 78 peratus jangkitan baru daripada hubungan seks dicatatkan tahun lalu dan ia terus meningkat dalam kalangan wanita.

“ARTAID16 turut dijadikan sebagai peringatan kerana selepas tiga dekad dengan kemajuan teknologi perubatan dan bidang sains, masih ramai yang dizalimi dan dipinggirkan masyarakat.

“Lebih menyedihkan, bagi kebanyakan wanita, risiko mereka hanya menerusi perkahwinan,” tambah Dr Adeeba.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak program diwujudkan untuk membantu wanita daripada latar belakang kurang berkemampuan di seluruh negara supaya mereka dapat mengakses ubat-ubatan HIV dan berpeluang menjalani rawatan yang diperlukan.

Jika dilihat 10 tahun lalu, setiap 10 jangkitan baru HIV yang dilaporkan hanya membabitkan seorang wanita. Kini nisbah itu bertukar kepada 4:1.

Selain itu, perbezaan jantina dan pelbagai isu ketidaksamaan lain seperti tahap kesihatan dan sosioekonomi banyak mempengaruhi wanita untuk berdepan risiko tinggi terhadap HIV.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:54 AM