GOL tunggal jaringan Costa. FOTO AP
AFP

London: Diego Costa melonjakkan Chelsea ke persada Liga Perdana Inggeris selepas jaringan pada lewat aksi penyerang Sepanyol itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas West Bromwich Albion di Stamford Bridge, malam tadi.

Skuad kendalian Antonio Conte diketepikan Arsenal yang menang ke atas Stoke City kelmarin tetapi dengan kemenangan malam tadi, Blues kembali menerajui liga dengan kelebihan tiga mata.

Jaringan liga yang ke-12 buat Costa sepanjang 15 penampilan itu memberikan Chelsea kemenangan kesembilan berturut-turut - yang pertama sejak 2007.

Kelab barat London itu menjaringkan 23 gol dan hanya melepaskan dua sepanjang tempoh itu sekali gus meningkatkan peluang untuk menjuarai Liga Perdana pada musim pertama dikendalikan Conte.

Walaupun persembahan anak buahnya malam tadi bukanlah yang terbaik, kesungguhan yang dipamerkan ketika melerai benteng pelawat yang kental bertahan membuktikan Blues masih lagi mempunyai karektor selaku pasukan digeruni.

Conte hanya membuat satu pertukaran berbanding pasukan yang menang ke atas Manchester City minggu lalu di mana pemain tengah Serbia Nemanja Matic digantikan Cesc Fabregas.

Sudah 38 tahun Albion menang buat kali terakhir di Bridge tetapi skuad kendalian Tony Pulis itu tetap hadir dengan keyakinan tinggi apabila menang tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Ketika Chelsea mendominasi awal aksi, mereka tetap gagal memecahkan benteng pertahanan Albion sebaliknya pelawat yang lebih dulu mengancam kubu tuan rumah.

Solomon Rondon hampir menjaringkan gol buat pelawat tetapi rembatannya tidak menemui sasaran manakala penjaga gol Albion Ben Foster hanya diancam pada minit ke-41 menerusi sepakan percuma David Luiz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:09 AM