RAMOS (dua dari kanan) jaring gol kemenangan.
AFP

Madrid: Kapten Real Madrid Sergio Ramos mempamer kecemerlangan apabila menghasilkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan untuk mengatasi Deportivo la Coruna 3-2 ketika kelab juara Eropah itu mencatat rekod 35 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

Dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Joselu selepas sejam perlawanan dilihat bakal menamatkan catatan gemilang Real yang dilakar sejak April selepas mereka mendahului hasil jaringan Alvaro Morata.

Walaupun turun tanpa Cristiano Ronaldo, Real berjaya mengekalkan kelebihan enam mata di persada La Liga apabila Mariano Diaz menyamakan kedudukan, enam minit sebelum tamat permainan manakala jaringan pada hujung permainan oleh Ramos memastikan kelab gergasi Sepanyol itu muncul pemenang.

“Apabila anda tetap melawan hingga wisel penamat, perkara sebegini bukanlah mustahil berlaku,” kata Ramos yang turut menjaringkan gol penyamaan pada hujung perlawanan ketika menentang Barcelona minggu lalu.

“Ia bukanlah aksi terbaik kami. Kami melakukan kesilapan yang hampir membawa padah tetapi kami berjaya mengubah keadaan.”

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu melepasi rekod Real sebelum ini yang mengharungi 34 perlawanan tanpa kalah pada musim 1988/89 ketika dibimbing jurulatih Belanda Leo Beenhakker.

“Kejayaan ini memberikan kami kekuatan mental untuk mengharungi perlawanan dengan lebih baik,” kata Zidane.

“Sergio memang istimewa kerana ini bukanlah kali pertama dia melakukannya.

“Dia kapten kami dan dia adalah antara nadi serta jiwa pasukan.”

Zidane melakukan banyak perubahan menjelang kunjungan Real ke Jepun untuk mengharungi Piala Kelab Dunia dan Ronaldo, Karim Benzema serta Luka Modric direhatkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:08 AM