Sultan Kelantan menunaikan solat maghrib berjemaah diMasjid Muhammadi, Kota Bharu, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli hadir ke sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kelantan yang turut dihadiri ribuan jemaah di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.

Baginda tiba pada 7.11 malam bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah diimamkan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhammad Hana Pizi Abdullah.

Baginda kemudian mendengar ceramah Maulidur Rasul disampaikan Pegawai Khas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohamad Zarifi Mohamad Daud.

Hadir sama Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta kepimpinan kerajaan negeri.

Baginda juga menunaikan solat Isyak berjemaah, berselawat dan berzanji sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Sultan Muhammad V dijadual berangkat ke ibu negara pada 13 Disember ini, bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 10:30 PM