FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
BERNAMA
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Raptai istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, hari ini, berjalan lancar.

Raptai istiadat berlangsung di Anjung Utama, Istana Negara; Dataran Parlimen dan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Penolong Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Azuan Effendi Zairakithnaini, berkata raptai itu termasuk persediaan pasukan kawalan hormat Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) membawa dua panji kebesaran iaitu panji Yang di-Pertuan Agong dan panji RRD.

“Raptai lancar sepertimana yang dirancang tetapi kita tidak ambil sikap berpuas hati begitu sahaja, kita akan pastikan yang terbaik.

“Segala perancangan telah disusun atur sejak enam bulan lepas lagi,” katanya ketika ditemui pada raptai istiadat tersebut di Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim.

Di Dataran Parlimen, istiadat keberangkatan balik pasangan Diraja itu akan membabitkan persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ serta acara mengadap dan bersalaman oleh anggota kabinet dan tetamu kehormat.

Di Kompleks Bunga Raya, KLIA pula, keberangkatan balik Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong diiringi perarakan bergajah dan persembahan kebudayaan yang bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya generasi muda mengenai kegemilangan kerajaan Melayu.

Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 esok dan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Baginda mencatat sejarah apabila ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970 untuk tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 7:52 PM