KAGUM dengan kegigihan idolanya bina karier di Amerika Syarikat.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Melihat kejayaan penyanyi Yuna melakar nama di pentas antarabangsa, sesiapa pun pasti menjadikan penyanyi yang mula dikenali melalui lagu Dan Sebenarnya itu idola mereka.

Anggota One Nation Emcees, Mimi, akui sangat mengagumi kerja keras Yuna dan menjadikan kejayaan penyanyi itu sebagai motivasi untuk terus bergerak dalam industri seni suara.

Pencapaian membanggakan itu membuatkan semangat Mimi turut berkobar-kobar untuk mencipta kejayaan sendiri. Penyertaannya dalam pertandingan D’Academy Asia tahun lalu juga adalah satu cara untuk menembusi pasaran luar negara.

Katanya, dia ingin mencontohi semangat juang Yuna dan sikapnya yang tidak mudah berputus asa apabila membuat keputusan membina kerjaya di Amerika Syarikat.

“Dia membuat keputusan besar dan berani itu ketika usianya masih muda. Ramai yang memandang sebelah mata dan beranggapan ia percubaan yang sia-sia.

“Namun kerja keras Yuna akhirnya berbaloi. Tengok sahajalah kejayaannya. Semua orang bangga dengan kejayaannya kini. Saya sendiri kagum dengan usahanya yang tidak pernah mengenal erti putus asa,” katanya.

Mimi bangga melihat Yuna berpeluang berduet dengan Owl City menerusi lagu Shine Your Way yang menjadi runut bunyi untuk filem animasi The Croods.

Yuna juga berduet dengan Usher melalui lagu Crush dan berkongsi pentas mengadakan persembahan bersama.

“Siapa yang tidak mahu menjadi seperti dia dan saya tidak setakat mengagumi Yuna, malah menjadi peminatnya.

“Walaupun usia kami sebaya, saya bangga untuk mengakui bahawa saya adalah peminat setia Yuna,” katanya.

Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 29, berkata, Yuna adalah inspirasi besar buatnya. Apabila ada peluang bersua muka dengan Yuna, Mimi menggunakan masa itu untuk meminta tunjuk ajar dan nasihat untuk dijadikan bekalan menuju puncak yang ingin didaki.

“Saya mahu menjadi seperti Yuna membina nama di luar negara sebagai penghibur disegani. Saya masih ingat lagi kali pertama mendengar lagu Terukir Di Bintang, saya terkesima dan banyak perkara yang bermain-main di fikiran.

“Saya tertanya-tanya, bagaimana Yuna boleh mendapat idea kreatif menghasilkan lagu yang kedengaran ala lagu seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

“Daya kreativiti Yuna memang tidak boleh disangkal lagi. Tidak hairan dia berjaya membina tapak kukuh di Amerika Syarikat. Berbekalkan vokal yang unik serta mampu menghasilkan lagu kreatif seperti itu, sememangnya dia penyanyi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mimi akui meremang bulu roma sebaik sahaja mendengar lagu Terukir Di Bintang. Dia kagum dengan idea Yuna sehingga dapat menghasilkan lagu seperti itu.

“Pada zaman ini, kita tidak pernah lagi mendengar mana-mana penyanyi mendendangkan lagu dengan muzik seperti itu. Kalau peminat ingat, One Nation Emcees pernah muncul de­ngan lagu Hoi Ya Hoi.

“Saya mendapat ilham menghasilkan lagu itu daripada Terukir Di Bintang tetapi apa yang saya hasil­kan itu disesuaikan dengan konsep kumpulan kami,” katanya.

Mimi juga ‘tabik’ dengan Yuna yang berani melang­kah ke dunia asing dengan pelbagai cabaran yang lebih besar daripada industri di Malaysia. Katanya, lambat atau cepat dia juga ingin mengikut jejak Yuna.

Katanya, dia juga meminati Beyonce tetapi tidak terlalu ambil peduli sangat mengenai penyanyi itu. Baginya, adalah perkara biasa penghibur luar negara diterima di seluruh dunia.

“Selepas menonton dokumentari menceritakan perjalanan Beyonce dari awal sehingga kini serta cara dia mengendalikan konsert jelajah, baru saya tahu jerih payahnya mencipta nama menjadi bintang besar.

“Walaupun Beyonce mempunyai kru yang membantu untuk menyediakan pentas, lampu, susunan lagu serta penari, dia tidak pernah lepas tangan. Setiap satu disusun dengan baik menurut kehendaknya.

“Kalau penyanyi tempatan saya suka Yuna. Kalau antarabangsa, Beyonce mengajar saya untuk menentukan perjalanan kita sebagai penyanyi. Jangan terlalu mengikut pandangan orang lain dan mengabaikan kehendak kita.

“Saya kagum dengan Beyonce. Dari A sampai Z dia buat perancangan. Malah warna lampu pun dia yang tentukan. Segala objek yang menjadi hiasan konsert juga dia yang pilih. Dia tidak goyang kaki menanti kru menyiapkan semuanya,” katanya.

Melihat cara Beyonce, dia perlahan-lahan cuba belajar dan menentukan konsep persembahan yang ingin disampaikan. Mimi sedar sebagai penyanyi, dia harus mempunyai kelebihan seperti itu.

Dia teruja apabila berpeluang menentukan corak persembahan serta memilih penarinya sendiri. Walaupun belum sampai ke pering­kat setahap Beyonce, Mimi puas hati dengan apa yang dicapainya setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:06 AM