GELAP dan sejuk tidak mematahkan semangat pendaki.
DIRIKAN kanopi sementara.
AKSI pendaki berehat di puncak.
SEBAHAGIAN pendaki merakam gambar berkumpulan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Menampilkan panorama indah sewaktu matahari terbit membuatkan lokasi Bukit Berekeh atau Bukit Botak terletak di Sungai Siput (U) Perak antara lokasi menarik boleh dikunjungi peminat aktiviti lasak.

Malah menyajikan pemandangan seindah savana, bukit berketinggian 454 meter itu memiliki lima puncak yang memiliki lapangan luas apabila hanya pokok renek dan rumput keperangan tumbuh melata sekitarnya.

Meskipun lokasi itu bukan destinasi popular pendaki kerana perlu melewati kawasan kampung serta ladang sawit, ia perjalanan cukup mengasyikkan buat 18 pendaki daripada jurusan Senibina Landskap Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak.

Kumpulan pendaki itu dibantu jurupandu arah Uzair Shuhairi menyifatkan persekitaran masih terpelihara kerana tidak diketahui umum lagi ketika ini.

Laluan Orang Asli ke kampung

Menurut Uzair trek mendaki ke puncak itu asalnya laluan singkat orang asal di Kampung Bawong terdiri masyarakat Orang Asli ke kampung berhampiran.

“Saya pun baru juga mengenali Berekeh kira-kira Januari lalu ketika mengikuti kumpulan Ipoh Climbers Community redah mencari puncak bukit terbabit.

“Mulanya bukit ini tidak popular tetapi kini 200 hingga 400 orang mula masuk menjelang hujung minggu apabila diviralkan sekitar Julai lalu. Tetapi kini Berekeh ditutup atas arahan pengurus ladang sawit di kawasan terbabit baru-baru ini.

“Namun sebabnya kurang jelas dan kita berharap ia dibuka semula untuk memberi peluang mereka sukakan alam sekitar mempunyai peluang menikmati keindahan di bukit terbabit,” katanya.

Katanya, bertanggungjawab mengetuai ekspedisi ini, cabarannya ialah sebahagian besar ahli kumpulan terdiri ialah pendaki baru.

“Meskipun laluan menuju ke puncak berkenaan tidak sesukar gunung lain tetapi pelajar menyertai ekspedisi ini tiada pengalaman mendaki.

“Mereka tidak tahu mengenai persiapan mahupun peralatan penting dan wajib dibawa terutama pendakian awal pagi. Peralatan penting seperti lampu kepala serta fizikal dalam keadaan baik.

“Dalam masa sama membuat ‘regroup system’, sentiasa berhenti di checkpoint atau simpang mengelirukan, tunggu dan kumpul semua peserta dahulu, kemudian baru teruskan perjalanan. Ia bertujuan mengelakkan peserta tersasar ke trek lain,” katanya.

Mengetahui menerusi laman sosial

Pengarah program Wan Maisarah Wan Deraman berkata, dia mengetahui kewujudan Bukit Berekeh daripada media sosial Instagram.

“Saya pernah mendaki dua kali, perasaannya cukup berbeza kerana pendakian kali ini pemandangan tidak seindah pengalaman pertama.

“Rumput terbakar berbanding dahulunya rumput menghijau dan pemandangan sebaik dipukul angin memang cantik. Cumanya terubat kali ini apabila kami berpeluang menyaksikan rumput karpet pada awal pagi.

“Kami bertolak jam 11 malam dan untuk sampai ke puncak pertama, masa diambil satu jam setengah dan kami bermalam di situ sehingga jam 4.30 pagi.

“Kami terus mendaki menuju ke puncak kelima dan sampai kira-kira jam 6 pagi. Meskipun berdepan dengan cuaca mendung dan hujan, kami berpuas hati dapat sampai ke destinasi terakhir,” katanya.

Meraikan bersama rakan

Rakannya Shahida Bahari berkata ekspedisi ini momen indah buatnya bersama rakan sama studio meraikan semester akhir.

“Kami mendaki Berekeh meraikan hari terakhir kami menuntut di sebuah universiti di Perak dan semua menyertainya ialah satu studio.

“Keseluruhan trek tidak terlalu sukar kalau individu mempunyai persiapan fizikal dan mental lengkap. Laluan awal ialah kawasan ladang kelapa sawit selama 40 minit.

“Meskipun laluan berbatu dan sedikit berdebu, trek seterusnya hutan dalam 20 minit dengan jalan curam sampai ada antara kami terpaksa cium lutut sendiri.

“Rezeki kami mendaki dalam hujan renyai, tentulah cuaca sejuk dan lembap. Bayangkan kalau panas tentu keadaan di puncak panas kerana hampir tiada pokok. Sebab itu Orang Asli panggil bukit itu Berekeh dalam bahasa kita bermaksud botak,” katanya.

Perlu persiapan lengkap

Sementara itu bagi Mohamad Idzuan Jamal persiapan perlu dilakukan ialah menyediakan kelengkapan mendaki seperti disarankan jurupandu.

“Semua keperluan seperti lampu kepala, tongkat, beg tidur (sleeping bag), baju sejuk, kasut, snek dan air mineral sangat penting terutama kami yang memulakan perjalanan dalam keadaan gelap.

“Paling tidak boleh lupa ketika kami mendaki, hujan mula turun. Secara tidak langsung menyukarkan perjalanan kami hendak naik.

“Apabila sampai di puncak dan ingin bermalam, kami tidur dalam kesejukan. Berbanding rasa tertekan, kami rasa ini kenangan tidak boleh lupa dan seronok kerana semangat berpasukan antara kami,” katanya.

Pengalaman Berekeh membuatkan Idzuan lebih teruja meneroka aktiviti mendaki di gunung yang mempunyai reputasi lebih mencabar.

“Saya teringin untuk naik gunung yang bersalji pula. Insya-Allah selepas mengutip seberapa banyak pengalaman daripada orang lebih arif dalam negara, saya mahu ke gunung Stok Kangri, India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:02 AM