JOKOWI (kiri) bersalam dengan Annan ketika bertemu dalam Forum Demokrasi di Nusa Dua di Bali, semalam. - AFP
Agensi

Bali: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) semalam mengarahkan bantuan kemanusiaan segera dihantar kepada etnik Rohingya yang menjadi mangsa konflik di negeri Rakhine di barat Myanmar.

Jokowi mengeluarkan arahan berkenaan selepas pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dalam satu forum demokrasi di sini, semalam.

“Annan adalah ketua Jawatankuasa Penasihat untuk negeri Rakhine, jadi kami berbincang mengenai langkah dan pelbagai isu lagi untuk membantu etnik Rohingya di negeri itu,” katanya yang dipetik Antara News.

Menurutnya, kerajaan Indonesia juga memutuskan untuk menghantar bantuan kemanusiaan segera kepada etnik Rohingya yang terjejas dengan konflik di negara itu.

“Saya mengarahkan supaya menteri berkaitan menyediakan bantuan secepat yang boleh untuk dihantar ke sana (Rakhine),” jelasnya.

Menurut Jokowi, bantuan kemanusiaan yang bakal dihantar ke Rakhine itu adalah makanan dan selimut.

Katanya, berdasarkan komunikasi dengan kerajaan Myanmar sebelum ini, bantuan seperti itu yang sangat diperlukan masyarakat Rohingya di sana.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memberitahu, selain bantuan, Jokowi juga mengarahkan persiapan untuk langkah jangka panjang bagi membantu masyarakat Rohingya.

“Langkah jangka panjang ini sudah dan akan dibincangkan lagi ketika pertemuan dengan pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Berpuluh ribu penduduk etnik Rohingya menjadi pelarian selepas dilaporkan menjadi mangsa pelampau agama dan tentera di Rakhine sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan penduduk Rohingya yang beragama Islam semakin buruk selepas dilaporkan ramai antara mereka dibunuh manakala wanita menjadi mangsa rogol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 7:29 AM