LANA puas menjaga anak sepenuh masa.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Selepas dikurniakan anak perempuan, Gia Quinn McKienzi yang kini berusia 11 bulan, pelakon Lana Nodin mengakui bukan mudah apabila sudah bergelar ibu.

Sejak kehadiran Gia juga, baru dia memahami pengorbanan ibu dalam membesarkan anak.

Menurut Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 36, apa yang dilalui sepanjang mengurus dan membesarkan anaknya itu mengingatkan dia kepada ibunya.

“Selama ini anak rapat dengan saya, malah saya dan suami juga tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Pendek kata, Gia 24 jam bersama saya. Disebabkan itu dia susah nak dekat dengan orang lain.

“Walaupun agak letih, tapi saya puas apabila dapat mengurus dan membesarkan anak dengan tangan sendiri. Apatah lagi sekarang ini dia sudah besar dan banyak perkara yang dia cuba lakukan.

“Apabila melalui sendiri pengalaman itu, baru saya sedar betapa besar pengorbanan dan kesabaran seorang ibu menjaga anak. Bukan mudah sebenarnya. Sekarang baru saya faham bagaimana perasaan ibu itu jika si anak mula meragam. Jadi, saya sangat mengagumi ibu yang mendidik dan membesarkan saya dan adik-beradik lain,” katanya.

Pada masa sama, Lana beranggapan apa yang dilalui sekarang masih kecil nilainya jika mahu dibandingkan dengan cara didikan yang diberikan ibunya dulu.

Lana yang juga pelakon filem Biasan berkata, tugas ibu bukan hanya membesar dan mendidik, tetapi lebih daripada itu.

“Kalau ikutkan cara orang dulu membesarkan anak lagi susah. Jadi, apabila melihat dalam diri, apa yang dilalui sekarang membuatkan saya sangat bersyukur. Sejak menjadi ibu banyak perkara perlu dititikberatkan.

“Selain nak membesarkannya dengan cara terbaik, soal kesihatan juga perlu diambil kira. Saya percaya naluri seorang ibu kalau anak sakit sikit pun pasti akan bimbang berterusan. Bukan itu saja, macam sekarang saya mulai memikirkan masa depannya,” katanya.

Berkongsi mengenai perkahwinannya dengan warga Amerika Syarikat, David McKienzie atau nama Islamnya Mohd Daud McKienzie, 36, Lana tidak berdepan sebarang masalah.

Bagi Lana, perkahwinan campur membabitkan dua budaya dan agama ini sedikit sebanyak memberikannya satu pengalaman baru.

“Banyak orang beranggapan kahwin campur susah, apatah lagi membabitkan perbezaan agama. Selepas lebih setahun berkahwin, saya berasa lebih selesa. Pendek kata, lelaki mat salih tak banyak ragam atau dalam erti kata lain tak banyak bunyi.

“Saya bertuah berkahwin dengannya kerana dia sangat memahami. Dalam keadaan saya sekarang yang menguruskan anak dan rumah tangga sendiri, dia mengambil pendekatan dengan menguruskan dirinya sendiri kerana tak nak menambah beban saya. Kadang-kadang dia yang secara sukarela membuat kerja rumah dan memasak,” katanya.

Mengenai cara didikan anak pula, Lana memberitahu, suaminya lebih suka jika anaknya dibesarkan dalam gaya hidup Melayu.

“Dari awal berkahwin lagi dia sudah mengatakan perkara itu. Sehingga anak kami dilahirkan, jelas dia lebih suka mendidik anak dengan budaya orang Melayu. Bagi suami, dia tak nak anaknya itu terlalu didedahkan dengan budaya orang Barat.

“Saya pula menerapkan kedua-dua budaya dalam kehidupan Gia. Saya mengimbangi perkara itu terutama dari segi disiplin diri. Mana yang baik dalam budaya suami, saya praktikkan untuk anak,” katanya.

Sedia tambah anak

Ditanya persoalan adakah dia sudah bersedia untuk menambah anak, Lana memaklumkan suaminya mahu segera ke arah itu.

“Suami selalu cakap dia nak anak lelaki pula. Bukan apa, dia anak tunggal lelaki, jadi kalau boleh suami mahukan waris anak lelaki pula supaya boleh membawa nama McKienzie.Jadi dia mahu merancang mendapatkan seorang lagi anak tahun depan.

“Tambahan pula, Gia sekarang sukakan kanak-kanak. Kalau dia melihat anak kecil lain, dia menjerit. Kasihan juga sebab di rumah dia tak ada kawan melainkan saya dan suami,” katanya.

Berkenaan kerjaya seninya, Lana merancang untuk membuat kemunculan semula tahun depan.

Sebagai permulaan, Lana kini banyak menjayakan beberapa program terbitan Astro.

Selain itu, Lana juga masih mengikuti suaminya ke Singapura tiga kali seminggu yang bertugas sebagai jurulatih di sebuah akademi bola tampar di sana.

Pada masa sama, Lana yang sudah dua bulan berada di Malaysia bakal bertolak ke Australia dan China bagi menemani suaminya yang terbabit dalam perlawanan bola tampar pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 12:24 PM