AHMAD (empat dari kiri) pada majlis perasmian Persidangan Perniagaan Aeroangkasa Kuala Lumpur 2016, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Industri aeroangkasa terus menjadi antara pemacu utama dalam transformasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berperanan sebagai pemangkin dalam mencapai negara berpendapatan tinggi serta tumpuan hab global aeroangkasa menjelang 2030.

Sektor terbabit dijangka dapat menjana sumbangan perolehan bernilai RM55.2 bilion serta mewujudkan kira-kira 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh yang sama.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sektor aeroangkasa adalah sektor bernilai tinggi dalam ekonomi pelbagai negara yang berkembang pesat dengan perolehan pada 1998 sebanyak RM900 juta kepada RM11.8 bilion pada 2014.

Beliau berkata, pada tahun lalu eksport produk aeroangkasa merekodkan peningkatan cemerlang sebanyak 44.7 peratus kepada RM4.2 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Sehingga kini, terdapat lebih 200 syarikat aeroangkasa di Malaysia dengan nilai pelaburan keseluruhan industri mencecah RM4.7 bilion serta menghasilkan kira-kira 20,000 pekerjaan kebanyakkannya di peringkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perniagaan Aeroangkasa Kuala Lumpur (KLIABC) 2016, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 7:25 AM